Model perniagaan baharu ladang Felda dicadang
SEREMBAN - Model perniagaan baharu ladang merupakan perkara yang dicadangkan dalam Kertas Putih Felda yang akan dibentangkan di Parlimen Rabu ini.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan kebajikan golongan peneroka di tanah rancangan berkenaan lebih terjamin.
"Saya telah berbincang mengenai draf Kertas Putih Felda dalam satu mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet Jumaat lepas.
"Sebelum perkara itu dibentangkan saya juga mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,"katanya pada sidang media selepas program ceramah di Bilik Gerakan DAP di sini, malam tadi.
Menurutnya, perkara lain yang turut dibincangkan dalam pertemuan dengan Dr Mahathir itu adalah memperhalusi masalah kekangan kewangan Felda serta langkah-langkah yang akan diambil untuk menjamin masa depan peneroka.
Ditanya mengenai matlamat utama Kertas Putih Felda itu dibentangkan secara terbuka, beliau berkata ia bertujuan memberi pendedahan kepada warga peneroka mengenai salah laku pengurusan kerajaan terdahulu.
"Peneroka perlu tahu perkara sebenarnya supaya mereka lebih faham apa masalah yang berlaku dalam pengurusan Felda.
"Langkah dibuat kerajaan ini bertujuan melindungi dan menjamin kepentingan peneroka pada masa akan depan,"katanya.
Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk membentangkan kertas itu berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang Felda yang melebihi RM8 bilion.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!