[VIDEO] 'Bantu kami pertahankan tanah adat'

Sekumpulan terdiri daripada penduduk dari Pitas dan MHO hadir di hadapan bangunan Menara Kinabalu bagi menyampaikan memorandum kepada Ketua Menteri Sabah.
Sekumpulan terdiri daripada penduduk dari Pitas dan MHO hadir di hadapan bangunan Menara Kinabalu bagi menyampaikan memorandum kepada Ketua Menteri Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kira-kira 100 penduduk dari beberapa kampung di Pitas hadir di hadapan bangunan Menara Kinabalu di sini untuk menyampaikan memorandum merayu campur tangan kerajaan negeri berhubung isu pemilikan tanah mereka.

Pengerusi Badan Bertindak Kampung Niatang, Hollynah Mopuas, 53, berkata, mereka mahu campur tangan pihak kerajaan Sabah berhubung isu pemilikan tanah yang didiami kira-kira 500 penduduk sejak 30 tahun lalu selepas dimaklumkan tanah berkenaan milik sebuah syarikat.

"Kami membuat permohonan dibuat sejak 1997 kepada Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (Safoda) dan diluluskan setahun kemudian.

Hollynah ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan Menara Kinabalu.
Hollynah ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan Menara Kinabalu.

"Selepas itu kami terus membuat permohonan tanah, namun sehingga kini belum ada hak pemilikan tanah. Namun pada 2016 kami dikejutkan dengan berita bahawa penempatan kami tinggal milik sebuah syarikat.

"Akhirnya pada Februari lalu, wakil syarikat berkenaan memaklumkan mereka sudah mendapat geran tanah berkenaan menyebabkan kami sudah tidak berhak untuk mendapat pemilikan tanah walaupun sudah lama menetap di kampung berkenaan," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Hollynah yang merupakan wakil penduduk hairan bagaimana syarikat berkenaan mendapatkan geran tanah terlebih dahulu sedangkan mereka sudah memohon sejak sekian lama.

"Menurut Pejabat Tanah dan Ukur bahawa permohonan kami telah dibatalkan, bagaimanapun pihak Safoda mengatakan bahawa tanah kami diami tidak bertindih dengan mana-mana permohonan selain tanah itu diwartakan oleh Safoda atas nama mendiang bapa saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, lebih 500 penduduk dari Kampung Niatang, Kampung Marung, Kampung Rukom Laut dan Kampung Layung terjejas apabila tanah didiami mereka dengan keluasan kira-kira 655 hektar kini diambil alih oleh syarikat berkenaan.

Malah penduduk memaklumkan terdapat pelbagai tanaman yang diusahakan sebagai punca rezeki iaitu tanaman getah, kelapa sawit, jagung serta ubi kayu dimusnahkan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tanaman penduduk telah dimusnahkan sejak empat minggu lalu.

"Hanya 20 peratus saja lagi tanaman kebun belum dimusnahkan.

"Kejadian ini amat menyedihkan kerana mereka adalah penduduk asal iaitu suku kaum Rungus sejak dulu lagi sudah menetap di tanah tersebut," katanya.

Hishamuddin menunjukkan dokumen yang perlu pihak SPRM siasat berhubung pemilikan tanah berkenaan.
Hishamuddin menunjukkan dokumen yang perlu pihak SPRM siasat berhubung pemilikan tanah berkenaan.

Katanya lagi, pihak MHO juga sudah menyampaikan perkara itu kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memohon siasatan dan aduan terhadap isu pemilikan tanah berkenaan.

Memorandum berkenaan dihantar ke Pejabat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan diterima oleh wakil Ketua Menteri Sabah.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata, beliau akan maklumkan kepada Hajiji berhubung memorandum yang disampaikan oleh MHO dan penduduk dari Pitas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!