Piala Malaysia pentas Kelantan FC uji pemain
KELANTAN FC mahu gunakan pentas Piala Malaysia sebagai medan menguji kemampuan para pemain sebagai menghadapi saingan Liga Super musim depan.
Ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata, berdasarkan undian yang berlangsung 6 Oktober lalu, pasukannya tiada pilihan selain bakal berdepan pasukan dari Liga Super pada pusingan pertama.
“Kita cuba beri saingan kerana rata-rata pasukan yang akan ditentang adalah dari Liga Super. Saya rasa kita boleh kenal pasti tahap kemampuan pemain memandangkan kami akan beraksi di Liga Super selepas ini.
“Kita akan cuba ambil manfaat daripada aksi Piala Malaysia dan cuba untuk mara sejauh mungkin kerana bukan mudah untuk lepasi setiap peringkat.
“Berdasarkan format kalah singkir iaitu secara timbal balik di tempat sendiri dan laman lawan, saya rasa kalau kami boleh mara sehingga ke peringkat suku akhir ia sesuatu yang sangat baik,” katanya.
Dijangka bertemu Sarawak United FC atau Penang FC iaitu pasukan yang berada di tangga ke-10 Liga Super.
Laluan seterusnya bakal memperlihatkan mereka akan berdepan pasukan dari kedudukan kesembilan atau pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) jika layak ke suku akhir.
Kelantan menutup kempen Liga Premier di tempat kedua di belakang JDT II walaupun banyak mendahului kedudukan sepanjang musim ini sebelum dipintas JDT II dalam beberapa perlawanan terakhir.
Dalam pada itu, Rezal berkata, mereka meletakkan sasaran menempatkan diri dalam kalangan lapan terbaik dalam pertembungan Piala Malaysia 2022.
Sebagai pasukan dari Liga Premier, beliau melihat itu sebagai pencapaian paling realistik buat Kelantan, namun pada masa sama tidak menolak ingin melangkah lebih jauh.
“Sesiapa sahaja yang kita akan temui sama ada Sarawak United atau Penang, ia tidak jadi masalah tetapi apa yang perlu diberi tumpuan adalah persiapan kita.
“Kita kena ingat walaupun pasukan yang akan ditemui ini nanti berada di antara 10 ke 11 Liga Super, itu bukan bermaksud mereka sebuah pasukan yang lemah.
“Mereka datang dari Liga Super, sudah tentu tahap permainan sangat berbeza dengan tahap Liga Premier, jadi kita kena perlu bersedia dalam banyak aspek,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!