Saifuddin Nasution beri bayangan calon PKR pada PRU15
SHAH ALAM - Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi bayangan akan menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu berkata, akan meneruskan perjuangan parti dan gembira untuk kembali bekerja dalam pasukan.
“Menghadapi PRU15 kali ini pun saya ikut serta dengan tenang. Saya gembira bekerja secara berpasukan. Kelebihan jika ada kita manfaatkan, kekurangan pula kita saling membantu. Itulah indahnya sebuah perjuangan.
“Semoga PRU15 kali ini menjanjikan dulang kemenangan buat PH (Pakatan Harapan),” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Dalam pada itu beliau yang juga Setiausaha Agung PH turut berkongsi pengalamannya sejak mula melibatkan diri dengan pilihan raya.
“Saya mula terlibat pada pilihan raya kecil Padang Terap (tahun) 1985. (Allahyarham) Tun Syed Ahmad Al Haj Syed Mahmud Shahabudin (ketika itu) dilantik jadi Gabenor (Yang Dipertua) Melaka.
“Ustaz Halim Arshat (Pas) lawan Baharom Bakar (UMNO). Tugas saya susun ceramah kelompok, edar risalah, kempen rumah ke rumah dan jaga bilik gerakan. Saya membantu calon Halim Arshat, bergerak di bawah Suhaimi Said (almarhum). Lokasi daerah mengundi (ialah) Felda Lubuk Merbau.
“Bermula dari situ tidak terhitung lagi penglibatan dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil. Sebagai jentera, pengarah dan calon semua saya dah lalui, pengalaman yang tak dapat di dewan kuliah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!