2,684 individu di Kelantan dikompaun merokok
KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan 2,684 kompaun ke atas individu atas kesalahan merokok mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) sepanjang Januari hingga Isnin.
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,224 individu dikesan melakukan kesalahan merokok di kawasan larangan di bawah Peraturan 11(1) PPKHT 2004.
"Manakala 460 individu lagi dikompaun atas kesalahan orang belum dewasa merokok di bawah Peraturan 13 (1) PPKHT 2004," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, sepanjang operasi itu, 95 kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis, kenderaan dan bangunan di bawah Peraturan 12(1)(a) PPKHT 2004 telah dikeluarkan ke atas individu.
Katanya, pada masa sama, 94 kesalahan menjual rokok peket dibuka dibawah Peraturan 9(1) PPKHT 2004 telah direkodkan sepanjang operasi itu.
"JKNK turut mengeluarkan 64 notis kesalahan menjual rokok bawah harga minimum di bawah Peraturan 8C(1) PPKHT 2004.
"33 kesalahan merokok di mana-mana tempat atau premis diisytiharkan oleh Menteri Kesihatan bawah Peraturan 22(2) PPKHT 2004 da 59 kesalahan lain-lain di bawah PPKHT 2004," katanya.
Dr Zaini berkata, sepanjang operasi itu, Kota Bharu merekodkan pengeluaran notis tertinggi iaitu 575, Tumpat (546), Tanah Merah (354) Machang (320), Bachok (313), Pasir Puteh (274), Gua Musang (270), Jeli (167), Pasir Mas (132) dan Kuala Krai (78).
Katanya, JKNK sentiasa menjalankan penguatkuasaan secara berterusan bagi menangani isu merokok terutamanya di kawasan larangan merokok.
Tindakan mahkamah boleh diambil terhadap orang kena notis yang tidak memilih untuk membayar kompaun, dan jika mana-mana kes yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
"Dengan ini, masyarakat terutamanya yang bukan perokok perlu bersama-sama memikul tanggungjawab dengan menegur perokok bagi melindungi hak masing-masing serta mengelakkan daripada menjadi perokok pasif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!