Bekalan ikan kembung kurang punca harga meningkat

Tahir (kiri) dan Fazil mengasingkan ikan kembung yang ditangkap di Pelantar Pasar Kubang Rotah, Alor Setar pada Selasa. Gambar kecil: Azizah
Tahir (kiri) dan Fazil mengasingkan ikan kembung yang ditangkap di Pelantar Pasar Kubang Rotah, Alor Setar pada Selasa. Gambar kecil: Azizah
A
A
A

ALOR SETAR - Bekalan ikan kembung yang kurang di pasaran sejak akhir-akhir ini menjadi punca kepada peningkatan harga ikan itu hingga mencecah sehingga RM14 sekilogram (kg) di Alor Setar.

Peniaga ikan, Azizah Ishak, 58, berkata, peningkatan harga ikan berlaku sejak dua minggu lalu dan dia menjangkakan akan terus naik jika bekalan berkurangan.

Menurutnya, keadaan cuaca tidak menentu, angin yang kuat dan laut bergelora menyaksikan ramai nelayan tidak turun ke laut buat masa ini.

"Sejak dua minggu lalu hasil tangkapan nelayan sangat kurang hanya sekitar 20 hingga 50 kg sahaja akibat akibat peralihan monsun.

"Kekurangan bekalan ini menyebabkan harga ikan kembung meningkat hingga RM14 sekilogram, peniaga pun tidak berani mengambil bekalan ikan yang banyak untuk dijual pada masa ini kerana bimbang tidak dapat dijual selain membebankan pembeli," katanya semasa ditemui di Pasar Kubang Rotan, dekat sini pada Selasa.

Azizah berkata, hasil tangkapan nelayan sebelum ini mampu mencecah antara 700kg hingga satu tan namun sangat berkurang pada musim peralihan monsun.

"Pembeli yang mahu membeli ikan terkejut dengan harga dipaparkan namun tidak mempunyai pilihan. Ada juga ikan yang dijual murah namun agak kecil sedikit,” ujarnya lagi.

Nelayan, Tahir Romli, 50, mengakui tangkapan ikannya berkurangan sejak dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pendapatan nelayan kecil sepertinya terjejas pada musim ini kerana difahamkan banyak ikan akan berkumpul di tengah laut.

"Kadang-kadang kami juga tidak dapat balik modal kerana perlu mencari lubuk ikan kembung. Namun kami faham dengan keadaan ini bila musim peralihan monsum berlaku," kata Tahir.

Seorang lagi nelayan, Fazil Hussin, 19, berkata, selain harga ikan kembung, harga ikan lain juga meningkat disebabkan masalah kekurangan bekalan yang berlaku kini.

Menurutnya, nelayan tidak dapat turun ke laut pada sebelah petang kerana bergelora selain kerap hujan.

"Ramai nelayan kecil seperti kami tidak berani ambil risiko turun ke laut pada sebelah petang kerana keadaan cuaca yang tidak menentu," ujar Fazil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!