myWakaf sasar kutip RM10 juta dalam tiga tahun

Dr Samsuri (tengah) yang merasmikan Karnival Kewangan Terengganu 2019 turut melancarkan portal myWakaf, baru-baru ini.
Dr Samsuri (tengah) yang merasmikan Karnival Kewangan Terengganu 2019 turut melancarkan portal myWakaf, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Inisiatif myWakaf dilaksanakan dengan gabungan enam institusi perbankan Islam di negara ini dijangka mampu mengumpul sehingga RM10 juta nilai wakaf dalam tempoh tiga tahun.

Pengerusi myWakaf, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, myWakaf adalah platform disediakan bagi memberi peluang kepada orang ramai berwakaf dengan mudah dan pantas secara dalam talian.

Menurutnya, susulan itu orang ramai kini boleh terus menunaikan wakaf pada nilai hanya serendah RM10 bagi mana-mana projek pembangunan yang ditawarkan menerusi portal myWakaf.

“Portal myWakaf telah dilancarkan sempena Karnival Kewangan Terengganu dan buat masa ini terdapat enam institusi perbankan Islam terbabit bagi memaksimumkan pembangunan wakaf di seluruh negara.

“Terdapat enam projek dijalankan Majlis Agama Islam negeri, iaitu projek Sekolah Menengah Seremban, Pusat Renovasi Mualaf, Perkhidmatan Hemodialisis Hospital Tunku Fauziah, Pusat Hemodialisis Maidam, Wakaf Bot dan Dana Wakaf Al-Bait,” katanya kepada media di sini.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang merasmikan Karnival Kewangan Terengganu 2019 turut melancarkan portal myWakaf di TH Hotel & Convention Centre di sini.

Mohd Redza berkata, pihaknya akan mempelbagaikan projek disediakan di portal myWakaf dari masa ke masa dan pelaksanaan dana wakaf adalah melalui projek yang dipersetujui berdasarkan sektor pendidikan, kesihatan, pelaburan serta pemerkasaan ekonomi.

Menurutnya, kelebihan portal myWakaf adalah di mana setiap projek berkenaan akan dipaparkan jumlah kutipan yang terkini bagi memudahkan pengguna.

Artikel Berkaitan:

“Kami berharap dengan adanya myWakaf ini akan menarik lebih ramai masyarakat untuk melaksanakan wakaf kerana portal ini menampilkan aspek ketelusan, akauntabiliti dan kawal selia yang efektif dalam pengurusan kewangan dana wakaf,” katanya.

Institusi terbabit dalam pelaksanaan myWakaf adalah Affin Islamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Rakyat, Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic Malaysia Berhad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!