Luluh hati ibu lihat gambar nahas babitkan anak, cucu

Nor Asikin menunjukkan gambar anak perempuannya yang baharu setahun melangsungkan perkahwinan.
Nor Asikin menunjukkan gambar anak perempuannya yang baharu setahun melangsungkan perkahwinan.
A
A
A

IPOH - Luluh hati seorang ibu selepas melihat beberapa gambar kemalangan maut di Kilometer 34, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini yang tular di aplikasi WhatsApp rupa-rupanya melibatkan anak perempuan dan cucu kesayangannya.

Nahas kira-kira jam 12.30 tengah hari itu telah mengorbankan Norsyahira Mohd Fadhail, 23, dan Muhammad Rayyan Nauffal Amyroul Shah Huszaiery yang berusia lingkungan tiga bulan.

Suami Nor Syahira berusia 23 tahun yang parah dalam kejadian itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Suri rumah, Nor Asikin Ahmad, 50, berkata, dia seolah-olah tidak percaya kejadian itu melibatkan ahli keluarganya berikutan mereka sempat berhubung sebelum kejadian.

"Pada awalnya kami mesej dan Ira (nama panggilan Norsyahira) mahu belikan strawberi dan jagung untuk dibawa pulang. Sepatutnya mereka pulang hari ini kerana menantu kerja syif petang.

"Tidak sampai sejam, seluruh keluarga mula kecoh apabila terlihat gambar itu dan kemudian ada lelaki telefon minta kami datang ke hospital," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, HRPB di sini pada Selasa.

Menurut Nor Asikin, hanya video keletah Rayyan dan ibunya menjadi pengubat rindu untuk keluarga.

"Ira ada hantar video anaknya dalam kumpulan WhatsApp. Video cucu saya gelak, senyum tapi rasa sedih kini dia sudah 'pergi'.

Artikel Berkaitan:

"Terasa kehilangan mereka berdua kerana Ira berpantang di rumah, saya menjaga mereka sejak Rayyan lahir. Apa pun saya kena reda dengan takdir ini," katanya.

Nor Asikin (tengah) tidak dapat menahan sebak ketika menunggu proses bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik, HRPB pada Selasa.
Nor Asikin (tengah) tidak dapat menahan sebak ketika menunggu proses bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik, HRPB pada Selasa.

Jenazah dua beranak itu akan dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Badak, Gurun, Kedah.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, nahas membabitkan kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki tiga sekeluarga dan Mercedes-Benz yang dipandu lelaki berusia 25 tahun.

"Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki mangsa dari arah Cameron Highlands telah bertembung dengan kereta mewah terbabit semasa melalui laluan berselekoh.

"Pemandu kereta berusia 23 tahun mengalami kecederaan parah manakala penumpang dan bayi berusia tiga bulan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Menurut Mohd Yusri, seorang lagi pemandu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 016-4173222 bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!