JDT bangkit tewaskan KDA FC
JUARA Liga Super 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT), bangkit daripada ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama sebelum menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC, 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.
Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan itu melebarkan rekod tanpa kalah kepada 21 perlawanan musim ini.
Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan itu terlebih dahulu dipaksa bekerja keras oleh skuad Kenari hingga ketinggalan 0-1 pada penghujung babak pertama.
Masih segar dengan kemenangan 3-1 ke atas KDA FC di Stadium Darul Aman, 4 Oktober lalu menyaksikan JDT bermula garang dengan mengasak hebat ke gawang pelawat sejak wisel permulaan.
Hasilnya, skuad Harimau Selatan itu hampir membuka jaringan seawal minit ke-3, namun tonggak import, Bergson Da Silva gagal menampan kemas hantaran silang daripada Arif Aiman Hanafi.
Seminit berselang skuad Harimau Selatan turut terlepas peluang menjaringkan gol apabila percubaan Akhyar Rashid sekadar menggegar palang gol biarpun pintu gol sudah terbuka luas.
Minit keenam menyaksikan JDT sekali lagi hampir membuka jaringan, namun sepakan percuma daripada Leandro Velazquez tepat ke tiang gol walaupun penjaga gol KDA FC, Mohd Shahril Sa’ari telah tertewas.
Tersentak dengan ketiga-tiga serangan itu, KDA FC dilihat mula bangkit mengatur asakan ke gawang JDT, namun percubaan-percubaan yang dilakukan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan.
Minit ke-41 menyaksikan giliaran KDA FC pula untuk membuka jaringan apabila penyerang import, Ronald Ngah Wanja berjaya melepasi kawalan pertahanan JDT, namun gagal merembat tepat bagi menewaskan Farizal Marlias.
KDA FC akhirnya berjaya mengejutkan tuan rumah apabila membuka jaringan pada minit ke-45 setelah Ronald Ngah sekali lagi berjaya melepasi kawalan pertahanan JDT sebelum tenang melambungkan bola bagi menewaskan Farizal bagi memastikan skuad Hijau Kuning itu selesa mendahului 1-0 menuju ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua menyaksikan JDT tidak perlu menunggu lama bagi menjaringkan gol penyamaan apabila penyerang import, Bergson Da Silva menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-48.
Gol berkenaan mula menyemarakkan semangat kesebelasan skuad Harimau Selatan itu untuk mengasak ke gawang pelawat bagi menambah jaringan.
Asakan-asakan berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila pemain gantian, Syafiq Ahmad menjaringkan gol kedua JDT pada minit ke-63 sebelum penyerang skuad Harimau Malaya itu sekali lagi meledak jaringan pada minit ke-68 untuk gol ketiga skuad Harimau Selatan itu.
JDT kemudiannya menambah jaringan menerusi Bergson Da Silva yang menanduk masuk pada minit ke-89 untuk skuad Harimau Selatan itu terus selesa memimpin perlawanan.
Pada masa kecederaaan, JDT dilihat masih tetap mengasak hebat ke gawang pelawat bagi menambah jaringan, namun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dihasilkan hingga ke wisel penamat.
JDT – Farizal Marlias (kapten), Matthew Davies, Mohd Afiq Fazail (Safiq Rahim), Bergson Da Silva, Leandro Velazquez, Muhamad Feroz Baharudin (Syahmi Shafari), Akhyar Rashid (Syafiq Ahmad), La’vere Corbin-Ong, Natxo Insa (Shio Hong Wan), Shahrul Saad, Arif Aiman Hanafi (Safawi Rasid)
KDA FC – Mohd Shahril Sa’ari (kapten) – (Muhammad Ilham Amirullah Razali), Rodney Celvin Akwensive, Marcos Vales, Gonzalez (Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik), Muhammad Khairu Azrin Khazali (Mohd Fadzrul Daniel Mohd Nizam), Mahmoud Nayef Almardi, Mohd Loqman Hakim Marzuki (Amirul Azhan Aznan), Mohamad Heshamudin Ahmad (Sanrawat Dechmitr), Ronald Ngah Wanja, Mohamad Fayadh Mohd Zulkifli Amin, Dechi Marcel N’guessan, Muhamad Kamil Akmal Abd Halim
Pengadil – Mohd Hasrol Mohd Amir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!