Selangor kekal mentaliti kemenangan
SELANGOR FC meneruskan mentaliti kemenangan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe apabila menewaskan Sarawak United FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, pada Selasa.
Bagaimanapun anak buah bekas pengendali Harimau Malaya itu terpaksa menunggu sehingga minit ke-71 untuk membawa pulang tiga mata dari bumi kenyalang tersebut.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain muda dari Myanmar, Hein Htet Aung yang menyudahkan hantaran Alexander Ameyaw pada minit ke-71 menewaskan penjaga gol Sarawak United, Aquila Abdul Rahman.
Kemenangan itu merupakan kemenangan ketiga berturut-turut selepas The Red Giants mencatat kemenangan ke atas Melaka United FC (5-0) dan PJ City FC (1-0).
Tiga mata itu menyaksikan anak buah Cheng Hoe tenang di tangga kelima liga setelah mengumpul 29 mata manakala Sarawak United pula kekal di tangga ke-11 liga dengan 14 mata.
Sabah FC pula bangkit dengan dua gol daripada Dominic Tan (90’) dan Park Tae-su (92’) untuk menjinakkan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Darul Makmur.
Tok Gajah sebelum itu berada di depan hasil jaringan Steven Rodriguez pada minit ke-86 dalam perlawanan berintensiti tinggi di Kuantan tersebut.
Sementara itu, Negeri Sembilan FC meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Melaka United FC 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Gol skuad Hobin Jang Hobin kendalian K Devan dijaringkan Nasrullah Hanif Johan (35’) dan Gustavo Dos Santos (86’), sekali gus memastikan tuan rumah mengumpul 41 mata.
Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, jaringan Filemon Anyie dan Mahalli Jasuli memberikan kemenangan kelima liga musim ini seterusnya 23 mata kepada PJ City FC ketika menjinakkan Penang FC 2-0.
Terengganu FC (TFC) pula meneruskan rentak kemenangan lapan perlawanan berturut-turut liga apabila menewaskan finalis Piala AFC, Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!