OPR ibarat 'ubat pahit' buat peminjam
SEJAK akhir-akhir ini kadar inflasi di Malaysia mengalami peningkatan agak mendadak sehingga menimbulkan keresahan dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
Situasi ini diburukkan lagi apabila berlaku peningkatan harga barang terutama barangan keperluan sehingga ada yang tidak mampu untuk membelinya.
Hal ini memberi kesan kepada semua golongan, lebih-lebih lagi B40.
Di samping bergelut dengan inflasi, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) turut memberi kesan kepada isi rumah walaupun pendekatan itu menjadi ‘tongkat’ pertumbuhan ekonomi negara.
Tetapi dari aspek isi rumah atau pengguna, kenaikan kadar ini tidak banyak membantu isi rumah mendepani senario ekonomi semasa.
Kenaikan OPR menjurus kepada kepada kenaikan harga barang keperluan asas dan perkhidmatan yang akhirnya menggugat ekonomi rakyat.
Ia ibarat ‘ubat pahit’ yang perlu ditelan.
Ketika ini, setiap orang bercakap mengenai survival hidup.
Masing-masing mempunyai cerita berbeza dan liku hidup yang perlu ditempuhi.
Bagi B40, keperitan itu sudah lama dirasakan dan bertambah pedih apabila terpaksa menetap di bandar-bandar besar untuk mencari rezeki mengisi perut ahli keluarga masing-masing.
Jadi, tidak hairan jika gaji RM4,000 dan mempunyai anak lima tergolong dalam miskin bandar.
Jangan ingat mereka yang dilihat keluar masuk dari bangunan pejabat indah-indah di tengah kota boleh menyimpan ringgit yang tebal.
Selalunya, gaji yang masuk hanya singgah satu atau dua detik di dalam akaun sebelum ia pergi pula ke akaun lain untuk membayar bil-bil dan ansuran pinjaman.
Bak kata pepatah moden ‘daripada bank ia datang, kepada bank ia kembali’.
Menunggu hari gaji dirasakan begitu panjang.
Apatah lagi di dalam akaun atau dompet hanya tinggal RM50 sahaja untuk dibelanjakan.
Hidup terpaksa mengikat perut, keinginan perlu dilupakan untuk seketika sementara menunggu akaun kembali bernafas selepas ditambah nilai oleh majikan masing-masing.
Bagi mereka yang sudah berkeluarga, belanja sekolah, minyak, tol, makanan harian dan barang dapur semua itu memerlukan modal yang besar.
Tidak cukup kalau sekadar mempunyai RM50 atau RM100 pada tengah bulan.
Jadi, mahu tidak mahu, ada yang terpaksa mencari duit lebih dengan membuat dua kerja seperti terlibat dengan e-hailing.
Walaupun kedengaran kerja tersebut lebih menguntungkan syarikat dan tidak memihak kepada pemandu atau rider, tapi mereka tidak ada pilihan lain.
Jika rajin, dapatlah banyak, jika sebaliknya, bersyukur saja apa yang ada.
Menurut Ketua Penyelidik di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar, tekanan kos sara hidup bukan sahaja membabitkan makanan asas tetapi pembayaran pinjaman aset seperti kenderaan dan rumah.
Beliau berkata, situasi ketidaktentuan harga barangan itu dijangka berlarutan sehingga tahun 2023 meskipun terdapat pihak optimis ia akan kembali reda sekurang-kurangnya pada akhir tahun ini.
Sebagai langkah mendepani kenaikan harga barang, inflasi dan OPR, isi rumah atau pengguna perlu bijak merancang perbelanjaan supaya tidak terbeban dengan ekonomi semasa.
Komitmen perbelanjaan sedia ada perlu diberi perhatian dan ini menuntut pengguna menetapkan pembelian perlu dan penting sahaja atau menangguhkan pembelian barang yang tidak berapa penting.
Langkah ini bagi memastikan pengguna mempunyai lebihan wang untuk disalurkan kepada simpanan.
Pada masa ini, meningkatkan simpanan antara satu aspek penting berbanding berbelanja untuk memenuhi kehendak.
Pada masa sama, rakyat perlu mengelak menambah komitmen perbelanjaan sedia ada kerana pertambahan hutang memberi tekanan kepada sumber kewangan sedia ada.
Perlu difahami, ketika sumber kewangan tidak bertambah, tetapi komitmen bertambah menyebabkan pengguna tidak memiliki lebihan kewangan bagi menampung perbelanjaan.
Desakan kehidupan yang serba mencabar, dugaan berbelanja dalam persekitaran segala barang dan perkhidmatan naik berganda membuatkan tabiat menyimpan agak culas juga.
Namun jangan jadikan alasan, menyimpan sedikit lama-lama jadi bukit boleh berjaya menabung dengan jumlah yang banyak kerana kini sukar dibuktikan tanpa disiplin yang cukup ketat.
*Azie Yahaya ialah Editor Pengisian Sinar Harian Online
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!