Kesan pilihan raya berasingan kepada rakyat, negara
PEMBUBARAN Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditentukan oleh Perdana Menteri serta menteri besar atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan sultan di negeri masing-masing.
Kerajaan negeri berhak mengadakan pilihan raya berasingan seperti mana yang bakal berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Enam negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu sudah menyatakan pendirian untuk tidak membubarkan DUN atas beberapa faktor.
Alasan yang diberikan ialah mengambil kira kepentingan rakyat kemungkinan berlaku bencana banjir, namun perbezaan politik antara kerajaan Persekutuan dan negeri juga dilihat mempengaruhi keputusan tersebut.
Situasi ini akan menyebabkan rakyat perlu keluar mengundi atau balik kampung sebanyak dua kali untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.
Bukan sahaja kerajaan menerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan menanggung kos perbelanjaan berganda, tetapi duit poket rakyat juga tidak terkecuali.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sebelum ini mencadangkan tarikh PRU ditetapkan secara automatik selepas genap mandat lima tahun yang dilihat lebih praktikal.
Menurut beliau, sistem itu sudah berdekad diguna pakai di Amerika Syarikat (AS), Australia, Norway dan Hong Kong yang dilihat membantu memudahkan urusan berkaitan perjalanan pilihan raya negara, selain menjimatkan.
Beberapa ahli Parlimen juga memberikan respons positif terhadap cadangan tersebut.
Antaranya ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Selain rakyat tidak lagi tertanya-tanya bila tarikh memilih kerajaan baharu, SPR juga dapat membuat persiapan awal, malah parti-parti politik mempunyai perancangan kempen yang rapi bagi meraih sokongan pengundi.
Malaysia perlu melakukan perubahan pada sistem demokrasi yang lebih bersistematik berbanding menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada ahli politik tertentu dalam menetapkan tarikh pembubaran Parlimen dan DUN.
Selepas pembentukan kerajaan baharu nanti, mungkin cadangan tersebut boleh diusulkan di Dewan Rakyat oleh ahli-ahli Yang Berhormat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!