Tangkap lembu berkeliaran, jadikan makanan haiwan di zoo

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MERAK Jalanan tertarik dengan komen netizen berkenaan isu haiwan ternakan yang berkeliaran di jalan raya sehingga mengakibatkan kemalangan maut.

Isu ini mungkin sudah lama dan sehingga kini masih menjadi ancaman kepada pengguna jalan raya, walaupun mungkin sudah terkawal dengan tindakan penguatkuasaan serta kesedaran segelintir penternak haiwan.

Tidak hairanlah, ada netizen mencadangkan agar lembu, kerbau dan kambing yang dilepas bebas itu ditangkap tetapi bukan untuk dilelong, sebaliknya diberikan percuma kepada zoo untuk dijadikan makanan haiwan-haiwan lain seperti harimau dan singa.

Mungkin cadangan itu agak lucu dan mustahil untuk dilaksanakan, tapi jelas menggambarkan kemarahan pengguna jalan raya terhadap sikap segelintir penternak yang mengambil lewa tentang keselamatan orang lain.

Kita sedia maklum, kos pengurusan zoo semakin tinggi terutama untuk belanja makanan, oleh itu Merak Jalanan terfikir ada baiknya cadangan tersebut dipertimbangkan.

Jabatan Veterinar pun tidak perlu ‘pening’ menyimpan haiwan ternakan yang ditangkap.

Tidak perlu lagi mengadakan sesi lelongan sekiranya pemilik haiwan tidak tampil menuntut.

Selain itu, Jabatan Veterinar atau pihak berkuasa tempatan (PBT) juga mungkin tidak mampu untuk menangkap lembu berkeliaran setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan cadangkan supaya diwujudkan satu pasukan khas untuk menangkap haiwan-haiwan berkeliaran ini. Mungkin apabila unit khas ini diwujudkan, penternak merasa gerun dan akan lebih bertanggungjawab.

Itu adalah lebih baik berbanding nilai nyawa yang terkorban serta kos baik pulih kerosakan kenderaan yang ditanggung pengguna jalan raya.

Bagi Merak Jalanan, biarlah penternak menangis disebabkan kehilangan lembu ternakan, daripada orang ramai menangis kehilangan insan tersayang yang maut akibat melanggar haiwan berkeliaran di atas jalan raya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!