Mangsa banjir hilang pendapatan
IPOH - Mangsa banjir di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor di sini bukan sahaja berdepan kerosakan harta benda tetapi mereka turut kehilangan pendapatan akibat bencana yang berlaku pada 4 Oktober lalu.
Seorang pengusaha baulu, Mad Radzi Othman, 70, meluahkan rasa sedih apabila mesin ketuhar dan pengadun miliknya tidak boleh digunakan lagi kerana terendam di dalam banjir tempoh hari.
Dia yang mengusahakan jualan baulu sejak 20 tahun lalu sememangnya berhasrat untuk memulakan semula perniagaannya selepas berhenti seketika ketika pandemik kerana jualan kurang memberangsangkan.
"Bila mesin dan barang-barang ini rosak, memang saya hilang pendapatan sebab saya tak ada duit pencen, hanya harap duit meniaga baulu dan kuih bakar sahaja. Memang banjir kali ini luar biasa.
"Anggaran kerugian dalam RM100,000 termasuk mesin-mesin untuk buat kuih yang rosak sekitar RM20,000. Jadi sekarang ini tak tahu macam mana nak buat. Harap ada pihak yang boleh bantu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya pada malam Selasa.
Seorang lagi peniaga kuih-muih, Norhafizah Mad Radzi, 37, turut mengakui banjir kali ini memberi kesan dari segi pendapatan kerana tidak dapat menjalankan perniagaan disebabkan barang rosak selain rumah yang masih belum dapat didiami.
Menurutnya, banjir kilat yang berlaku menyebabkan lantai rumah rosak dan terpaksa dibina baharu selain barang-barang keperluan lain turut tidak sempat diselamatkan.
Dia dan keluarga terpaksa tinggal sementara di kedai dan bercuti menjalankan perniagaan sehingga keadaan pulih seperti biasa.
Sementara itu, Pengurus Perak Food Bank, Masdiana Azman berkata, pihaknya antara yang terpanggil membantu mangsa banjir di RPT Chepor di sini.
Menurutnya, antara bentuk bantuan disalurkan termasuklah membaik pulih rumah, membersihkan rumah dan menyediakan beberapa keperluan lain kepada mangsa.
"Kita juga bantu membina lantai dapur sebuah rumah mangsa banjir bersama-sama sukarelawan selain lantai rumah melibatkan mangsa yang terjejas teruk.
"Lebih RM10,000 kita sumbangkan bagi projek ini untuk meringankan beban mangsa banjir. Kita juga ucapkan terima kasih kepada penyumbang dan sukarelawan terlibat," katanya.
Beliau berkata, usaha membantu mangsa banjir itu digerakkan bersama Pengerusi Food Bank Perak, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!