Bidoglio akui JDT berdepan kesukaran sebelum menang
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui skuad kendaliannya berdepan kesukaran sebelum berjaya menewaskan Kedah Darul Aman (KDA FC), 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Katanya, biarpun bermula garang dengan mengasak hebat ke gawang pelawat pada 15 minit pertama, namun jentera serangan skuad Harimau Selatan itu tetap gagal menjaringkan gol, malah turut ketinggalan 0-1 di penghujung babak pertama.
“Kami memang mengasak dan menguasai bola di separuh masa pertama, namun gagal menembusi benteng pertahanan KDA FC.
“Mereka bertahan dengan sembilan pemain dan hanya membiarkan hanya seorang pemain berada di atas.
“Bagaimanapun, pemian-pemain kami berjaya mengatasi tekanan berkenaan dan akhirnya kami berjaya memenangi perlawanan ini,” katanya sejurus tamat aksi Liga Super berdepan KDA FC di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa.
Aksi Liga Super pada Selasa menyaksikan KDA FC mengejutkan JDT apabila membuka jaringan menerusi penyerang importnya, Ronald Ngah Wanja pada minit ke-45.
Bagaimanapun, JDT bangkit pada separuh masa kedua menerusi jaringan Bergson Da Silva menerusi sepakan penalti pada minit ke-50 dan 89 selain dua jaringan pemain gantian, Syafiq Ahmad pada minit ke-63 dan 68.
Mengulas mengenai aksi terakhir berdepan Sabah FC 15 Oktober ini, Bidoglio berkata, dia sudah mengingatkan pemain agar memberikan aksi terbaik bagi memastikan kemenangan pada perlawanan berkenaan.
“Kita akan cuba sebaik mungkin bagi mencatatkan kemenangan pada perlawanan terakhir ini.
“Namun, kita tahu ia akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar dan semua pemain perlu memberikan aksi yang terbaik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!