Ibu masuk ICU, anak terpaksa tumpang rumah jiran

Skuad SSU menziarah kanak-kanak yang dijaga jirannya di Gombak pada Selasa.
Skuad SSU menziarah kanak-kanak yang dijaga jirannya di Gombak pada Selasa.
A
A
A

GOMBAK - Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun terpaksa menumpang teduh di rumah jiran selepas ibunya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital awam akibat menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Perkara tersebut dilaporkan menerusi satu kemas kini di Facebook Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada Selasa.

Menurut hantaran berkenaan, LZS melalui Skuad Saidina Umar (SSU) bergegas ke rumah jiran berkenaan di Gombak selepas menerima aduan melalui talian khidmat pelanggannya.

"Jiran berhampiran rumahnya memberi kebenaran sementara waktu selepas mendapatkan nasihat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk anak kecil ini menumpang seketika sehingga keadaan ibunya kembali pulih.

"Usaha mencari waris yang lain juga sedang giat dijalankan bagi memastikan info lengkap dan latar belakang ibu serta anak ini dapat diperoleh agar bantuan selanjutnya boleh dihulurkan.

"Alhamdulillah jiran tetangga sangat prihatin dan tidak putus-putus menghulurkan sumbangan terutama keperluan makanan pada anak ini. Keselamatannya juga sentiasa dipantau," katanya pada Selasa.

Dalam pada itu, LZS dalam hantaran sama memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan JKM dan setiap perkembangan dua beranak terbabit akan diteruskan bersama tindakan susulan serta bantuan-bantuan yang bersesuaian.

LZS turut menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan info yang tepat berkenaan pasangan dua beranak tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak tahu apa yang menimpa dua beranak ini, namun sebagai masyarakat dan saudara seislam, kewajipan kita menghulurkan bantuan awal mengikut kemampuan sangat dituntut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!