Mangsa banjir tetap mahu keluar mengundi

Tiga keluarga mangsa banjir dari Kampung Paya Kenangan ditempatkan di PPS SK Bukit Mutiara, Johor Bahru, pada Rabu selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat. (Gambar kecil dari kiri: Yuliana, Noraini, Sulaiman)
Tiga keluarga mangsa banjir dari Kampung Paya Kenangan ditempatkan di PPS SK Bukit Mutiara, Johor Bahru, pada Rabu selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat. (Gambar kecil dari kiri: Yuliana, Noraini, Sulaiman)
A
A
A


JOHOR BAHRU - Mangsa banjir dari Kampung Paya Kenangan yang kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara di sini tetap mahu keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun dalam keadaan banjir.

Lokman Sayed, 55, berkata, mereka mahu menunaikan tanggungjawab keluar mengundi dan berharap mana-mana pihak dapat menyediakan bot untuk membawa mereka ke pusat mengundi.

"Ini adalah tangunggjawab kami untuk keluar mengundi. Ini merupakan pertama kali PRU berlaku dalam keadaan banjir jika musim tengkujuh melanda yang dijangka November ini.



"Walaupun kami risau dan berdebar-debar dengan ramalan berlaku banjir pada bulan depan, namun semangat untuk keluar mengundi tidak pernah padam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS tersebut pada Rabu

Bapa kepada tiga anak itu yang juga pesara berkata, banjir tidak akan menghalang penduduk kampung berkenaan untuk keluar mengundi.

Dalam pada itu, Sulaiman Abdul Rahman, 40, berharap, ada pihak yang akan membawa mereka ke pusat mengundi paling dekat dengan rumah atau menjemput mereka dari PPS sekiranya sudah dipindahkan ketika itu.

"Bawa mangsa banjir ke tempat mengundi. Biasanya ada dua sekolah yang jadi pusat membuang undi di kawasan Tebrau akan dinaiki air setiap kali banjir," kata bapa kepada tiga anak itu yang bekerja sebagai buruh.

Noraini Mohd Nasir, 55, pula berkata, kerajaan wajar memberikan enjin bot kepada mereka kerana ada penduduk di kampung berkenaan memiliki sampan tetapi hanya menggunakan pendayung.

"Kami ada sampan tetapi tidak ada enjin bot, jadi sukar untuk bergerak kalau arus deras. Kami akan keluar mengundi selepas semua urusan di rumah termasuk memindahkan barang-barang berharga selesai," ujarnya.
Artikel Berkaitan:


Anggota APM melakukan pemantauan di kawasan banjir di Kampung Paya Dalam, Johor Bahru pada malam Selasa
Anggota APM melakukan pemantauan di kawasan banjir di Kampung Paya Dalam, Johor Bahru pada malam Selasa



Sementara itu, Yuliana Narom, 38, turut tidak mahu melepaskan peluang mengundi pada PRU15 kerana sudah lama bersedia dan menantikannya kerana sedar tanggungjawab mengundi amat besar kepada negara.

Namun suri rumah kepada tiga anak itu berharap, sebelum atau selepas PRU15 masalah banjir di kampung berkenaan dapat diatasi kerana sudah enam kali banjir dalam tahun ini.

"Bulan ini sahaja sudah dua kali banjir. Air mula naik pada jam 7.50 malam tadi dan saya serta jiran sempat menaikkan barang berharga ke rak yang sudah disediakan sebelum diarah berpindah ke sini (PPS) kerana air sudah naik ke paras pinggang.

"Punca banjir kerana hujan lebat dan pertembungan air pasang yang mengakibatkan parit depan rumah dan Sungai Tebrau berdekatan melimpah. Hanya dalam masa kira-kira satu jam air sudah naik," jelasnya.

Dia berharap kerajaan dapat mengorek dan membesarkan parit serta sungai tersebut kerana sudah lama tidak diselenggara dengan baik selain mendakwa kali terakhir ia diselenggarakan pada awal tahun 2000.

Walaupun penduduk seakan sudah biasa dengan banjir dan bersedia setiap kali hujan lebat, dia berkata, pihak berkaitan perlu prihatin dan tidak membiarkan banjir kilat terus berlaku di kawasan tersebut.

"Terdapat tiga rumah di kampung ini termasuk rumah saya yang berada di kawasan rendah, apabila banjir, air akan cepat naik dan lambat surut berbanding rumah lain," ujar Yuliana.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!