Tuah anak sulung terima biasiswa Sulung KPT-UMP

Mohd Zabri Yusoff (dua dari kiri) dan Haryani bersama Wan Raizulhazmi Syukrin (tiga dari kiri) dan keluarganya pada majlis penyerahan surat tawaran biasiswa Sulung UMP kepada pelajar itu Ahad lalu.
Mohd Zabri Yusoff (dua dari kiri) dan Haryani bersama Wan Raizulhazmi Syukrin (tiga dari kiri) dan keluarganya pada majlis penyerahan surat tawaran biasiswa Sulung UMP kepada pelajar itu Ahad lalu.
A
A
A

KUANTAN - Anak sulung sebuah keluarga B40 dari Kota Bharu Kelantan, Wan Raizulhazmi Syukrin Wan Rizman Zailani, 19, antara penerima biasiswa Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) Kementerian Pengajian Tinggi-Universiti Malaysia Pahang (KPT-UMP).

Wan Raizulhazmi Syukrin menerima surat tawaran biasiswa di bawah Yayasan UMP itu pada Ahad lalu.

Selain biasiswa itu, dia turut menerima sebuah komputer riba, inisiatif pendidikan RM1,000 dan sumbangan bakul prihatin keperluan makanan sumbangan Yayasan UMP.

Surat tawaran dan sumbangan itu diserahkan Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff.

Turut hadir, Pengurus Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UMP, Haryani Abdullah, Pengerusi Institusi Kefeloan UMP merangkap Pengetua Residen Pelajar 4, Nasrul Salim Pakheri dan Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Jaafar.

Dalam pada itu, Wan Raizulhazmi Syukrin berkata, tuah menyebelahinya apabila dia terpilih untuk menerima biasiswa itu.

"Sebelum ini saya menerima panggilan berhubung khabar gembira ini dan di luar jangkaan apabila surat tawarannya di hantar ke rumah.

"Alhamdulillah penat lelah belajar sebelum ini berbalas dengan 'hadiah' ini," katanya yang mendaftar masuk ke UMP Kampus Pekan pada Selasa bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Mekatronik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Zabri berkata, inisiatif itu selari dengan hasrat KPT dalam memperkenalkan program Sulung bagi membantu meningkatkan ekonomi mahasiswa daripada golongan B40.

Ujarnya, program itu memfokuskan kepada usaha membantu pelajar dari keluarga B40 yang belum ada seorang pun ahli keluarga menjejakkan kaki ke menara gading.

“Ianya sebagai pencetus motivasi kepada ahli keluarga yang lain untuk meningkatkan prestasi dalam bidang akademik, “ katanya.

Haryani pula berkata, wang pendahuluan RM2,000 yang telah dilunaskan Wan Raizulhazmi Syukrin akan dikembalikan semula kerana kos pengajiannya dibiayai sepenuhnya melalui biasiswa Sulung itu.

"Seramai enam pelajar menerima biasiswa Sulung UMP kali ini dalam usaha membantu pelajar yang memerlukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!