Yadim persiap 10,000 sukarelawan hadapi banjir

Tuan Kamarul Arief Tuan Soh
Tuan Kamarul Arief Tuan Soh
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mempersiapkan 10,000 anggota sukarelawan yang lebih dikenali Sukarelawan Yadim (SAY) di seluruh negara bagi menghadapi banjir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, pejabat-pejabat Yadim di seluruh negeri telah diminta bersedia dan segera bertindak bersama pasukan sukarelawan bagi menghadapi bencana tersebut.

“SAY Pulau Pinang dan Sarawak umpamanya telah menerima latihan Asas CDERT (Civil Defense Emergency Response Team) yang memberi pendedahan tentang aspek bantuan kepada masyarakat ketika bencana.

“Anggota SAY di negeri lain juga bakal menerima latihan yang sama bagi memantapkan kemahiran dan pengalaman mereka. Sukarelawan yang terlatih ini kelak akan digerakkan ke kawasan- kawasan yang dilanda bencana," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, SAY telah terlibat dalam pelbagai program membantu masyarakat sebelum ini, khususnya ketika musibah banjir dengan penyediaan dapur rakyat, penyaluran sumbangan dan khidmat pemulihan tempat kediaman serta fasiliti awam.

“SAY di seluruh negara sentiasa bersedia untuk turun padang sekiranya diperlukan,“ katanya.

Ujar Tuan Kamarul, Yadim juga telah mengaktifkan bilik gerakan banjir di ibu pejabatnya di Putrajaya bagi mengatur sebarang inisiatif membantu mangsa mangsa bencana tersebut kelak.

“Bilik gerakan ini pernah digunakan untuk menyelaras gerak kerja bantuan oleh Yadim dalam bencana banjir pada 2020 dan 2021,” katanya.

Pada masa sama, Tuan Kamarul mewakili Yadim mengajak orang ramai yang layak mengundi untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih bagi memastikan negara dipimpin oleh kepimpinan yang berwibawa, berintegriti dan stabil demi masa depan Malaysia yang dicintai.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!