Stok minyak sawit dijangka meningkat kepada 2.5 juta tan

CGS-CIMB jangkakan stok minyak sawit dalam negara ini meningkat 8.2 peratus secara bulanan kepada 2.5 juta tan menjelang akhir Oktober berikutan pengeluaran lebih tinggi. - Foto 123RF
CGS-CIMB jangkakan stok minyak sawit dalam negara ini meningkat 8.2 peratus secara bulanan kepada 2.5 juta tan menjelang akhir Oktober berikutan pengeluaran lebih tinggi. - Foto 123RF
A
A
A

CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) menjangkakan stok minyak sawit dalam negara ini meningkat 8.2 peratus secara bulanan kepada 2.5 juta tan menjelang akhir Oktober berikutan pengeluaran yang lebih tinggi mengatasi eksport yang lebih tinggi.

Cabang penyelidikan CGS-CIMB Securities itu menjelaskan pihaknya juga yakin harga minyak sawit mentah (MSM) boleh didagangkan dalam julat RM3,500 hingga RM4,500 satu tan pada Oktober 2022.

"Harga MSM dijangka kekal rendah pada Oktober berikutan persaingan daripada eksport minyak sawit Indonesia yang lebih tinggi.

"Bagaimanapun, penurunan harga MSM akan dihadkan oleh diskaun menariknya berbanding minyak makan pesaing,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Rabu.

Ia juga menjangkakan peladang huluan di Malaysia mencatatkan keuntungan bersih suku ketiga yang lemah berdasarkan sukuan dan tahunan disebabkan harga MSM yang lebih rendah.

Purata harga MSM Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turun 39.1 peratus secara tempoh sukuan dan 9.6 peratus secara tahunan pada suku ketiga kepada RM3,990 satu tan, yang lebih daripada mengimbangi kenaikan 13.5 peratus secara sukuan dan 2.7 peratus secara tahunan dalam pengeluaran MSM yang direkodkan oleh estet Malaysia bagi tempoh yang sama, tambahnya.

"Ini, ditambah dengan kos operasi yang lebih tinggi berikutan kenaikan gaji minimum di Malaysia kepada RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei 2022, dan kos baja yang lebih tinggi serta cukai keuntungan luar biasa atau Cukai Makmur berkemungkinan menjejaskan keuntungan suku ketiga penanam,” menurutnya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) turut senada apabila menjangkakan stok MSM kekal tinggi pada Oktober.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun harga minyak sawit yang rendah menggalakkan penggunaan minyak sawit, ini mungkin diimbangi oleh langkah berterusan kerajaan Indonesia untuk mengurangkan paras inventorinya yang membebankan,” jelasnya.

Menurut bank pelaburan itu, selepas komoditi ini mencecah paras tertinggi sepanjang masa iaitu RM8,074 satu tan pada awal Mac 2022, harga MSM telah mengalami aliran penurunan (dan mencatatkan purata RM5,442 satu tan setakat ini bagi 2022), berikutan langkah Indonesia untuk mengurangkan inventori minyak sawitnya.

"Kami sedang menyemak andaian harga MSM bagi 2022-2024 kami iaitu RM5,500/4,500/3,800 satu tan dengan kecenderungan menurun susulan prospek bekalan yang bertambah baik, unjuran permintaan yang tidak menentu (akibat ketidaktentuan ekonomi) serta langkah berterusan Indonesia untuk mengurangkan inventori minyak sawitnya,” jelasnya.

Walaupun terdapat kecenderungan menurun terhadap andaian harga MSM, HLIB mengekalkan pandangan bahawa sektor perladangan dijangka mengatasi prestasi pasaran dalam tempoh 12 bulan akan datang, susulan penilaian yang baik terutama selepas pembetulan ketara dalam harga saham penanam baru-baru ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!