JBPM Selangor bentang 13 strategi urus banjir negeri: MB

Amirudin (tengah) diiringi Haris (kanan) dan Norazam merasmikan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor Menghadapi Monsun Timur Laut di Shah Alam pada Rabu.
Amirudin (tengah) diiringi Haris (kanan) dan Norazam merasmikan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor Menghadapi Monsun Timur Laut di Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor membentangkan 13 strategi bagi memastikan pengurusan banjir di Selangor berada pada tahap optimum.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, strategi yang dibentangkan berdasarkan kepada pengalaman pada tahun lepas dalam menangani fasa peralihan Monsun Timur Laut tahun ini.

Menurutnya, 13 strategi ini termasuklah menggerakkan tenaga sumber manusia, melengkapkan peralatan komunikasi antara jabatan dan maklumat, pergerakan aset serta pelaporan bencana.

"Itu lebih kurang 13 perkara yang ada dalam strategi dan mereka ada lebih 1,500 anggota termasuk pasukan khas yang berkeupayaan menangani isu-isu ekstrem di darat, air serta udara," katanya.

Amirudin ditemui pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor Menghadapi Monsun Timur Laut di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam di Seksyen 15 di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah JBPM Negeri Selangor, Norazam Khamis dan Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim.

Dalam pada itu, beliau berkata, lokasi pangkalan hadapan bagi menghadapi musim tengkujuh juga akan dikenal pasti seperti balai penghulu atau aset kerajaan negeri di kawasan yang berisiko.

"Pangkalan hadapan itu nanti akan turut menjemput agensi dan badan-badan lain yang akan berkhidmat untuk proses-proses penyelamatan terhadap sebarang kemungkinan bencana di dalam lokaliti.

Artikel Berkaitan:

"Pangkalan hadapan ini adalah satu persediaan awal supaya kita tidak terlalu jauh menggerakkan aset selepas melihat ramalan meteorologi dan perkembangan terkini hujan dan air pasang serta pelaporan semasa,' katanya.

Dalam pada itu, Amirudin turut berterima kasih kepada JBPM Negeri Selangor kerana meningkatkan kemudahan dan aset jabatan itu antaranya menambah kemudahan bot dalam menghadapi musim tengkujuh kali ini.

"Bot bertambah menjadi 72 buah secara keseluruhannya bagi membantu melengkapkan proses persediaan selain anggota Sukarelawan Selangor (Serve) juga akan memulakan latihan di sini (Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!