Pendengaran semakan kehakiman Najib 19 Oktober

Laporan Sinar Harian pada 5 Oktober lalu.
Laporan Sinar Harian pada 5 Oktober lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Prosiding pendengaran bagi permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya menghadiri persidangan Dewan Rakyat ditetapkan pada 19 Oktober ini.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh berkenaan ketika prosiding pengurusan kes yang dihadiri peguam Persekutuan (FC), M Kogilambigai yang bertindak bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) manakala peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili bekas Perdana Menteri itu.

Kogilambigai berkata, mereka memerlukan masa untuk meneliti permohonan Najib selaku pemohon.

"Kami memerlukan masa untuk mengkaji penghujahan itu dan kami akan memaklumkan kepada mahkamah sekiranya ada sebarang bantahan.

“Tidak timbul isu yang mendesak kerana Parlimen telah dibubarkan pada Isnin lalu,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, keadaan ini agak mendesak kerana Najib mempunyai hak untuk ke Parlimen.

“Memandangkan pembubaran telah berlaku, ada isu undang-undang yang akan ditentukan oleh mahkamah.

“Ia termasuk sama ada Najib akan menghadiri sesi penamaan calon atau boleh dicalonkan. Saya mencadangkan permohonan itu didengar pada Jumaat ini," kata peguam itu.

Artikel Berkaitan:

Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang dan didenda RM210 juta atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 5 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin lalu.

Najib, 69, memfailkan notis itu melalui Tetuan Shafee & Co dengan menamakan kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Jabatan Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!