PICO 4 dilancarkan di Malaysia
JENAMA realiti maya (VR) terkemuka dunia yang bertunjangkan inovasi bebas serta keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), PICO melancarkan set kepala serba lengkap terbaharunya, PICO 4 di Malaysia pada Rabu.
PICO 4 menggandingkan reka bentuk minimalis dan teknologi tinggi sekali gus menawarkan pengguna pelbagai cara untuk menjalin hubungan, mengamati kehidupan dari sudut baharu dan merungkai aneka potensi yang tiada batasan.
Pengarah Serantau PICO Asia Tenggara, Allen An berkata, dengan PICO 4, pengguna dapat menikmati tahap keselesaan yang lebih tinggi menerusi rekaannya yang lebih ringan dan seimbang serta gambar yang lebih berkualiti dengan cip pemproses Qualcomm Snapdragon XR2.
"PICO 4 datang dengan paparan 4K 90Hz dan opsyen ‘pancake’ yang membawakan pandangan bersudut ultra lebar 105 darjah di samping sistem penjejakan 6DoF (enam darjah kebebasan) dan lebih banyak hiburan menerusi permainan serta aplikasi 6DoF natif yang boleh didapati di PICO Store," katanya pada majlis pelancaran di Orange Concourse, Sunway Pyramid.
Katanya, PICO 4 dalam varian 128GB dan 256GB masing-masing boleh didapatkan pada harga RM1,699 dan RM1,999 mulai 12 Oktober di outlet-outlet wakil pengedar PICO, kedai rasmi PICO di Shopee serta Lazada, termasuk di TikTok Shop dan menerima peranti mereka pada 14 Oktober.
Mulai Khamis hingga Sabtu ini, orang ramai boleh mengunjungi Orange Concourse, Sunway Pyramid untuk merasai sendiri pengalaman yang ditawarkan oleh PICO 4.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!