Nilai jualan pembuatan meningkat kepada RM157.4 bilion
NILAI jualan sektor pembuatan Malaysia pada Ogos 2022 meningkat sebanyak 24.4 peratus kepada RM157.4 bilion, dipacu oleh subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik (E&E); produk petroleum, kimia, getah dan plastik serta produk makanan, minuman dan tembakau.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik menyumbang 25.8 peratus kepada nilai jualan manakala subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik menyumbang sebanyak 27.6 peratus serta subsektor produk makanan, minuman dan tembakau pula pada 18.4 peratus.
"Jumlah pekerja sektor pembuatan pada Ogos 2022 adalah sebanyak 2.31 juta orang, bertambah 4.3 peratus berbanding 2.2 juta orang pada Ogos 2021.
"Peningkatan ini disumbangkan oleh produk E&E (6.9 peratus), produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (4.9 peratus) serta produk mineral bukan logam, logam asas dan logam yang direka (3.2 peratus),” menurut DOSM dalam kenyataan mengenai Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia, Ogos 2022 yang dikeluarkan pada Rabu.
DOSM juga menambah, gaji dan upah yang dibayar juga dilaporkan telah meningkat 7.5 peratus atau RM541.3 juta berjumlah RM7.77 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Nilai jualan per pekerja meningkat 19.3 peratus kepada RM68,174 berbanding bulan yang sama 2021 manakala purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,365, jelasnya.
Menurut jabatan itu, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022, nilai jualan sektor pembuatan melonjak 17.4 peratus kepada RM1.16 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2021.
"Bilangan pekerja meningkat sebanyak 4.3 peratus kepada 2.31 juta orang manakala gaji dan upah berkembang 5.3 peratus kepada RM62.3 bilion.
"Nilai jualan per pekerja bagi tempoh sama pada 2022 pula merekodkan RM504,321 dengan pertumbuhan tahun ke tahun 12.5 peratus,” tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!