Sorok 102,500 peket rokok bawah tempat duduk van

Paul (kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan awal pagi semalam.
Paul (kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan awal pagi semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis mengesan modus operandi baharu yang digunakan penyeludup membawa rokok tidak bercukai ke negara ini melalui jalan darat.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM), Asisten Komisioner Polis Paul Khiu Khon Chiang berkata rokok tersebut disorokkan bawah tempat duduk van yang diubahsuai untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Mengikut maklumat dan siasatan awal, konsainan rokok ini dari negara jiran yang dibawa masuk melalui jalan darat.

"Ini perkara yang menarik perhatian kita dan kita sedang siasat bagaimana boleh berlaku dengan kawalan dan pemeriksaan agak ketat dan boleh terlepas hingga ke Johor Bahru.

"Tempat duduk van yang digunakan untuk memindahkan rokok itu telah dipotong dan kalau lihat dari luar memang kelihatan seperti sebuah van tiada penumpang," katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, hari ini.

Hasil risikan, PPM Wilayah Dua berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok bernilai RM1.6 juta awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu menemui 102,500 peket rokok yang sedang dipunggah daripada sebuah van ke sebuah lori di Kawasan Perindustrian Taman Johor.

Artikel Berkaitan:

Keadaan tempat duduk dalam van yang diubahsuai untuk mengangkut rokok seludup.
Keadaan tempat duduk dalam van yang diubahsuai untuk mengangkut rokok seludup.

Pihaknya percaya sindiket itu mula aktif sejak awal tahun ini dan transaksi semalam bukan pertama kali berlaku.

"Ketika intipan dijalankan dua lelaki dewasa memunggah kotak berbungkus dengan plastik hitam dipercayai rokok.

"Dalam serbuan itu, seorang suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 30 tahun berjaya ditahan selepas dikejar lebih kurang 100 meter manakala seorang lagi berjaya melarikan diri," katanya.

Selain van dan lori, polis turut merampas sebuah kereta yang di parkir sebelah lori dengan pintu terbuka dipercayai milik pemandu lori tersebut.

Ujian air kencing yang dijalankan ke atas lelaki yang ditahan itu menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!