Indeks pengeluaran perindustrian naik 13.6 peratus pada Ogos

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

INDEKS Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 13.6 peratus pada Ogos 2022 berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan hari ini, jabatan itu berkata, pengembangan tersebut disumbangkan oleh masing-masing sektor pembuatan (15.2 peratus), elektrik (10.0 peratus) dan perlombongan (8.0 peratus).

"Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Ogos 2022 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (19.2 peratus), produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (53.6 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam direka (13.6 peratus),” katanya.

Peningkatan dalam sektor perlombongan dipacu oleh pengembangan sebanyak 8.0 peratus masing-masing dalam indeks gas asli dan indeks minyak mentah dan kondensat, kata jabatan itu.

Pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan domestik (22.5 peratus) dan industri berorientasikan eksport (12.4 peratus).

"Bagi industri berorientasikan domestik, sumbangan utama adalah pembuatan produk tembakau dan pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler.

"Selain itu, peningkatan industri berasaskan eksport didorong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal dan pembuatan kok serta produk petroleum bertapis,” katanya.

Menurutnya, prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, IPP bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022 merekodkan pengembangan sebanyak 7.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2021.

"Peningkatan itu disokong oleh indeks pembuatan (9.6 peratus), indeks elektrik (6.5 peratus) dan indeks perlombongan (0.2 peratus),” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!