Fokus 52 kawasan 'hotspot' banjir di Selangor

Amirudin dibantu Norazam (kiri) memakai jaket keselamatan pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan JBPM Negeri Selangor Menghadapi Monsun Timur Laut di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam pada Rabu.
Amirudin dibantu Norazam (kiri) memakai jaket keselamatan pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan JBPM Negeri Selangor Menghadapi Monsun Timur Laut di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor akan memberi fokus di 52 kawasan 'hotspot' di negeri ini ketika fasa peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.

Antara kawasan 'hotspot' terbabit termasuklah kawasan Taman Sri Muda di Seksyen 25, Kampung Melayu Subang, Puchong, Jalan Kebun dan Seksyen 13 bagi daerah Petaling.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, tumpuan diberikan di daerah Petaling kerana kerap berlakunya kejadian banjir berulang termasuk beberapa kawasan terdedah banjir kilat.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya akan meningkat tahap rondaan membabitkan anggota dari balai berdekatan apabila hujan lebat melanda kawasan terbabit secara berterusan.

"Kawasan ini kita akan fokus termasuk apabila berlaku hujan lebat yang berterusan dan anggota akan membuat rondaan dengan membawa bot ringan dahulu.

"Kita ada lebih kurang 72 bot pelbagai jenis dan kemungkinan ada tambahan menerusi bantuan bot milik badan bukan kerajaan (NGO) dijangka membantu.

"Di daerah Petaling paling banyak, kita tempatkan sebanyak 15 buah bot kerana ia salah satu kawasan 'hotspot' kita," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan JBPM Negeri Selangor Menghadapi Monsun Timur Laut di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam di Seksyen 15 di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!