[VIDEO] PRU15: Warisan tanding semua kerusi di Sabah termasuk Labuan
KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan akan bertanding di semua 26 kerusi Parlimen di Sabah termasuk Labuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penyandang kerusi Parlimen Semporna itu turut berkata, ia adalah untuk menstruktur semula pentadbiran dan pengurusan kerajaan di peringkat negeri Sabah.
"Untuk makluman bahawa di peringkat Majlis Tertinggi Warisan, kita sudah putuskan kemungkinan besar kita akan bertanding di 25 kawasan kerusi Parlimen yang ada termasuk satu di Labuan, 26 kerusi (keseluruhan).
"Kita mahu bertanding di kawasan ini kerana kita nak 'reset' Sabah, reset keadaan, cara pentadbiran, cara pengurusan di peringkat Sabah," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong di sini pada Rabu.
Menurut Mohd Shafie, senarai calon sudah disediakan di mana ada gabungan muka baharu dan lama selain melihat kepada gender untuk diketengahkan pada PRU15 kali ini.
"Kemungkinan besar ada muka baharu, ada muka lama. Ini merupakan pendekatan kita untuk memastikan supaya ada gabungan antara orang muda dan orang lama.
"Penetapan gender ini penting tetapi disamping itu, jangan hanya bersandarkan gender kita letakkan calon kerana kalau tak menang tidak ada gunanya. Pilihan raya adalah untuk memenangi pilihan raya (kerusi), kita mesti ada nombor (menang kerusi Parlimen)," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, tidak semestinya mereka yang mempunyai jawatan akan dicalonkan dalam pilihan raya kali ini.
"Saya sudah maklumkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, mana-mana ketua bahagian yang tidak jadi calon, jangan boikot itu parti kita, jangan merajuk. Kalau jadi calon, alhamdulillah tunaikan tanggungjawab," katanya.
Sementara itu, ditanya kerusi yang akan ditandingi di Semenanjung, beliau memaklumkan Warisan akan meletakkan calon di enam negeri.
"Di Semenanjung, kita akan bertanding Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!