Misi getir Sabah saingi JDT

Kim Swee. - Foto Agensi
Kim Swee. - Foto Agensi
A
A
A

JURULATIH Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui tugas sukar bakal dihadapi pasukannya untuk layak ke saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan.

Ini kerana kata beliau, skuad itu akan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.

“Bagi saya satu lagi cabaran dan perlawanan yang cukup sengit bakal dihadapi apabila berdepan JDT kerana ia penentu sama ada layak ke saingan Piala AFC.

“Pasukan yang berada di kedudukan kedua, ketiga dan keempat mempunyai peluang untuk merebut tempat ke Piala AFC," katanya.

Kim Swee berkata, penentuannya akan berlaku pada perlawanan terakhir dan sudah pasti skuadnya berdepan cabaran getir apabila menentang JDT serta bermain di tempat lawan.

“Namun, jika dapat sebarang mata di Johor nanti ia amat berharga buat Sabah,” kata bekas jurulatih Harimau Malaya itu.

Sabah FC meraih tiga mata berharga selepas mengecewakan Sri Pahang 2-1 di Kuantan pada Selasa.

Pada perlawanan itu, Sabah bangkit daripada ketinggalan dengan menjaringkan dua gol hasil sentuhan Dominic Tan minit ke-89 dan disusuli Taesu Park pada masa kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Skuad tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi penyerang import, Steven Rodriguez pada minit ke-85.

Mengulas kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang, Kim Swee berbangga dengan komitmen anak buahnya yang bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan.

Katanya, semangat juang terutama keyakinan tinggi memastikan hasrat mengutip tiga mata di tempat lawan tercapai.

“Saya akui pada awal permainan kita tidak melakukan banyak serangan terutama pada separuh masa pertama. Namun, menyedari kita perlu menang, pemain bangkit sebaik Sri Pahang menjaringkan gol pendahuluan.

“Sikap tidak berputus asa sebaik menjaringkan gol penyamaan dan disusuli gol kedua membantu mengutip tiga mata. Tidak mengaku kalah pada baki dua atau tiga minit berjaya memberikan kemenangan yang berharga,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!