Simulasi hadapi banjir ketika PRU15 libat lima zon
KUALA LUMPUR - Simulasi melibatkan persediaan menghadapi banjir ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah dijalankan di semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata simulasi komprehensif itu melibatkan lima zon di semua 14 negeri.
"Simulasi ini melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kakitangan agensi lain yang terlibat.
"Ia dijalankan bukan sahaja sebagai kesiapsiagaan banjir tetapi juga persediaan dalam penugasan PRU15,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Op Banjir bertempat di Bukit Aman di sini pada Rabu.
Katanya, bagi penugasan Op Banjir, PDRM akan dibantu oleh jabatan dan agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Seramai 21,018 anggota polis, 367 bot, 845 kenderaan pacuan empat roda, 454 lori serta 11 aset udara sedia untuk dikerahkan mengikut keperluan dan perkembangan semasa.
"Selain itu, semua ketua polis daerah juga diarah untuk melakukan persedian awal bagi mengetuai pusat operasi pengurusan banjir di peringkat daerah masing-masing," katanya.
Jelasnya, seramai 4,367 pegawai dan anggota Rela bersama aset mereka dalam keadaan siap sedia untuk diatur gerak ke lokasi berpotensi berdepan banjir.
"APMM pula ditugaskan ke pulau-pulau bagi penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas selain pemindahan mangsa banjir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!