Sultan Kedah titah kerajaan negeri bantu naik taraf UniSHAMS
BALING - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar kerajaan negeri Kedah membantu naik taraf kemudahan rekreasi dan ibadah di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS).
Baginda bertitah, kemudahan rekreasi, riadah dan keselesaan ibadah kepada warga universiti itu harus dipertingkatkan bagi memperolehi ketenangan dan kedamaian jiwa sekali gus menyumbang kepada penyuburan produktiviti diri ke arah memperolehi kecemerlangan dalam pendidikan.
Sultan Sallehuddin bertitah bagi merealisasikan hasrat tersebut, persekitaran kampus yang sejahtera perlu diwujudkan.
"Beta memanjatkan doa, agar usaha kita bersama dapat memberi manfaat kepada ummah dan masyarakat," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen UniSHAMS kali ke-24 di kampus Kuala Ketil dekat sini, pada Rabu.
Turut berangkat Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UniSHAMS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Naib Calselor UniSHAMS, Prof Dr Asmadi Mohamed Naim.
Baginda dalam masa sama turut mengingatkan agar alumni UniSHAMS meneruskan kejayaan dan kecemerlangan pada masa hadapan selain menabur bakti kepada institusi pendidikan tersebut.
"Sebagai alumni universiti ini, setiap graduan sangat digalakkan melibatkan diri, secara aktif dalam segala aktiviti Alumni UniSHAMS.
"Peranan anda semua sangat diperlukan. Beta menyeru anda semua, untuk membalas segala jasa UniSHAMS, dengan kembali membantu universiti ini, baik dari segi pemikiran, mahupun kewangan supaya UniSHAMS akan bertambah maju," titah baginda.
Sementara itu, seramai 1,382 orang graduan menerima ijazah masing-masing, meliputi peringkat pengajian doktor falsafah, sarjana, sarjana muda, diploma pasca siswazah, diploma dan program asasi pada Istiadat Konvokesyen UniSHAMS kali ke-24 yang diadakan selama tiga hari bermula Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!