Jumlah subsidi dalam Bajet 2023 untuk rakyat bertambah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah subsidi yang diperuntukkan kepada rakyat dalam Bajet 2023 berjumlah RM55 bilion, melebihi daripada peruntukan asal RM31 bilion bagi tahun 2022, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian itu berkata, anggaran RM55 bilion ini adalah berdasarkan unjuran harga minyak global yang dijangka menurun sekitar AS$90 serta penurunan harga komoditi lain ekoran jangkaan kelembapan ekonomi dunia pada 2023.

"Tentunya tiada keperluan untuk memperuntukkan jumlah yang terlalu besar sekiranya anggaran keperluan adalah di tahap yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kementerian Kewangan, subsidi khusus untuk golongan B40 dan M40 juga telah bertambah bagi tahun 2023.

"Perbelanjaan untuk bantuan sosial dan subsidi ditingkatkan dua kali ganda daripada hanya 5.2 peratus kepada 11.3 peratus daripada perbelanjaan mengurus.

"Bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada golongan susah dan B40 pula adalah sekitar RM10 billion,” katanya.

Bajet 2023 juga memperuntukkan RM1 bilion bagi Program Pembasmian Miskin Tegar yang bertujuan untuk membantu golongan ini berdikari melalui inisiatif ekonomi dan pertanian.

"Ini mencerminkan pandangan jauh kerajaan dalam memastikan agar rakyat diperkasa sebaik mungkin supaya mereka mampu berdikari tanpa sentiasa ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Peruntukan subsidi bagi tahun 2022 ialah sebanyak RM31 bilion namun perbelanjaan subsidi berjumlah RM77.7 bilion ekoran ketidaktentuan geopolitik yang mencengkam rantaian bekalan global yang seterusnya menaikkan kadar inflasi dan memberi impak langsung kepada kenaikan harga makanan dan barangan asas.

"Contohnya, tahun ini, harga minyak pernah melonjak lebih AS$120 setong dan ini meningkatkan subsidi kerajaan bagi RON95.

"Harga arang batu yang tinggi juga telah mengakibatkan peningkatan bil subsidi bagi penjanaan bekalan elektrik yang lancar untuk seluruh Malaysia,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!