Harga maksimum telur, ayam disambung

Kadar baharu pemberian subsidi telur ayam adalah 8 sen sebiji kepada peladang. - Foto Bernama
Kadar baharu pemberian subsidi telur ayam adalah 8 sen sebiji kepada peladang. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelaksanaan penentuan harga maksimum telur dan ayam disambung berkuat kuasa Rabu.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, kadar baharu pemberian subsidi telur ayam adalah 8 sen sebiji kepada peladang.

Menurutnya, berkuat kuasa serta-merta, harga runcit telur ayam gred A adalah 45 sen sebiji, gred B 43 sen dan 41 sen bagi gred C.

"Harga borong telur ayam gred A ditetapkan pada kadar 42 sen, 40 sen (gred B) dan 38 sen (gred C) setiap biji.

"Harga ladang sebiji telur ayam gred A pula adalah 39 sen, 37 sen (gred B) dan 35 sen (gred C)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, keperluan penyelarasan itu dibuat kementerian bagi membolehkan harga runcit telur ayam dikekalkan tanpa sebarang kenaikan.

"Harga maksimum ayam dikekalkan bagi semua peringkat meliputi ladang, borong dan runcit," katanya.

Azman berkata, KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa bekerjasama membuat pemantauan untuk memastikan bekalan barangan dalam negara sentiasa mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 2,249 anggota penguat kuasa telah digerakkan ke lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi memastikan undang-undang dipatuhi," katanya.

Kerajaan pada 5 Februari lalu memperkenalkan penentuan harga maksimum bagi kedua barangan tersebut sebagai langkah untuk menstabilkan harga ayam dan telur ayam di samping memastikan keberadaan bekalan tersebut di pasaran dalam negara.

Langkah itu dibuat kerajaan dengan mengambil kira kenaikan isu kos sara hidup rakyat pada masa kini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!