Silap labur, duit lebur

Pastikan anda tidak menjadi mangsa skim pelaburan palsu dengan sentiasa berwaspada

A
A
A

No Image Caption



Tujuan utama kita melabur adalah untuk mengumpul harta demi mempertingkatkan kesejahteraan kewangan kita. Namun, ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia kurang bernasib baik terjebak menjadi mangsa skim-skim penipuan pelaburan atau scam.

Skim penipuan pelaburan lazimnya akan menjanjikan pulangan yang lumayan yang tidak masuk akal, dalam masa yang singkat tanpa sebarang risiko.

Tetapi ini hanyalah indah khabar dari rupa kerana peluang pelaburan dan keuntungan yang kononnya akan diperolehi itu sebenarnya tidak wujud.

Justeru itu, setiap lapisan masyarakat diminta lebih berwaspada dan berhati-hati terhadap peluang pelaburan seperti ini, terutamanya yang ditawarkan melalui media sosial seperti Facebook, WhatsApp atau Telegram.

Jangan mudah terpedaya dengan ayat-ayat manis scammer seperti ini:

"Dengan pelaburan RM300, anda boleh perolehi keuntungan RM3,000 dalam masa 6 jam sahaja”

“Pelaburan kami tidak ada risiko... janji income ‘masyuk’”

Artikel Berkaitan:

"Anda adalah pelanggan bertuah yang menerima tawaran kami ini...bayar sekarang untuk menikmati peluang sekali seumur hidup. Dan jangan risau, pelaburan kami patuh Syariah”

Bagaimana untuk mengenal pasti taktik scammer?

Modus operandi kebanyakan scammer pelaburan tak banyak beza. Kebiasaannya pelabur diarahkan untuk memindahkah wang atau ‘deposit’ ke dalam akaun bank peribadi seseorang yang mendakwa mewakili entiti yang sah, atau ke dalam akaun korporat yang tidak berkaitan.

Jangan cepat terpengaruh atau dikelirukan dengan permainan licik geng scammer pelaburan ini.

Lebih baik jangan dilayan, kerana jika ‘ejen’ tersebut tidak mempunyai lesen sah dari pihak berkuasa dan cuba mengambil wang daripada orang ramai, itu petanda anda perlu menjauhkan diri anda daripada melabur dengan mereka.

Bagi mendapatkan kepercayaan dan meyakinkan mangsa untuk tidak curiga, scammer akan mendakwa bahawa entiti mereka dan skim pelaburan tersebut telah diluluskan oleh pihak berkuasa kewangan.

No Image Caption

Mereka juga akan menggunakan lesen palsu yang kononnya dikeluarkan oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bank Negara Malaysia untuk mengaburi mata mangsa.

Jadi, anda perlu semak terlebih dahulu dengan pihak SC untuk mendapatkan kepastian. Jika anda masih ragu-ragu, katakan sahaja 'tidak'. SC adalah badan berkanun yang bertanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Walau apa pun produk pelaburan yang anda pilih, amat penting untuk anda melabur melalui syarikat yang dilesenkan atau berdaftar dengan SC.

Proses pelesenan memastikan bahawa sesebuah syarikat atau individu mematuhi peraturan dan garis panduan untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti pelaburan dalam pasaran modal.

Pihak-pihak ini juga akan diawasi dan dipantau oleh SC, jadi anda sebagai pelabur berserta wang anda secara tidak langsung juga akan dilindungi. Untuk maklumat lebih lanjut anda boleh layari laman sesawang www.investsmartsc.my

Tontoni video berikut untuk lebih informasi.

Jika anda ragu-ragu tentang skim pelaburan yang ditawarkan, anda boleh membuat pertanyaan dan laporan terus kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel: aduan@seccom.com.my.

Kesimpulannya, penipuan scammer ini boleh berlaku kepada sesiapa saja tetapi amat penting untuk pelabur mempersiapkan diri dengan ilmu pelaburan untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa.

Sebagai pelabur yang berhemah, anda perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk tidak menjadi mangsa skim penipuan pelaburan. Antaranya, jangan terpedaya dengan janji-janji yang tidak realistik.

Anda juga boleh memperkasakan diri dengan ilmu pelaburan dengan melawat InvestSmart Fest 2022, pada 14 hingga 16 Oktober 2022 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), satu acara tahunan yang dianjurkan oleh SC.

Pada 2014, SC telah memperkenalkan InvestSmart, jenama pendidikan pelabur yang bertujuan untuk mendekati pelabur dan memperlengkapkan mereka dengan asas-asas kukuh untuk membolehkan mereka membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat dan berhemah.

No Image Caption

Acara yang dikendalikan oleh SC beserta institusi pasaran modal, persatuan serta agensi berkaitan merupakan sebahagian usaha SC untuk melindungi pelabur, dalam memenuhi mandatnya sebagai agensi pengawal selia pasaran modal Malaysia.

Bertemakan “Silap Labur Duit Lebur”, pelbagai ceramah dan seminar oleh pakar-pakar industri terkemuka akan berlangsung.

Sepanjang 3 hari itu, pengunjung boleh mendapatkan penilaian mengenai perancangan kewangan mereka secara PERCUMA. Sesi konsultasi perancangan kewangan dari Perancang Kewangan Berlesen juga akan ditawarkan di bawah inisiatif #FinPlan4u tersedia untuk anda. Tempat adalah terhad!

Mereka yang hadir juga akan berpeluang memenangi cabutan bertuah dan menyertai kuiz yang diadakan sepanjang acara berlangsung.

Siapa yang tidak ralat jika ditipu, lebih-lebih lagi kalau simpanan selama bertahun-tahun mencecah ribuan ringgit, hilang begitu saja.

Jadi, sentiasalah berwaspada dan pastikan anda mengambil langkah-langkah wajar sebelum membuat keputusan untuk melabur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!