[VIDEO] Perak belum bubar DUN

Saarani (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Saarani (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima warkah permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Istana Kinta di sini pada Rabu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi sidang akhbar sebentar tadi di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Menurut Saarani, warkah permohonan pembubaran DUN Perak itu dibuat selaras dengan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

"Pada sesi menghadap tersebut Paduka Seri Tuanku bertitah bahawa baginda mengambil maklum mengenai permohonan yang dikemukakan dan akan membuat pertimbangan yang sewajarnya.

"Oleh yang demikian sebagai ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN Perak akan diumumkan selepas Paduka Seri Tuanku berkenan membuat keputusan," katanya menerusi sidang akhbar tersebut.

Saarani ketika menghadap turut menyembah maklum mengenai pengumuman Perdana Menteri mengenai pembubaran Parlimen setelah dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta syor supaya ketua kerajaan negeri mengambil tindakan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan serentak.

Sementara itu, beliau memaklumkan pentadbiran kerajaan akan dijalankan seperti biasa sehingga keputusan pembubaran DUN Perak diumumkan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum itu ke Istana Kinta di sini kira-kira jam 2.08 petang bagi menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk memohon perkenan untuk membubarkan DUN.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!