Penduduk risiko banjir diminta siap siaga untuk berpindah

Penduduk perlu bersiap siaga dari semasa ke semasa sekiranya diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir. - Gambar hiasan
Penduduk perlu bersiap siaga dari semasa ke semasa sekiranya diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Penduduk di kawasan berisiko diingatkan untuk mematuhi nasihat pasukan keselamatan dan bersiap siaga dari semasa ke semasa sekiranya diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Zaini Ujang memaklumkan, perkara itu susulan rantau negara dipengaruhi tiupan angin baratan dan kewujudan sistem cuaca tekanan rendah di timur Filipina yang dijangka bergerak ke selatan Vietnam bagi tempoh 12 hingga 18 Oktober.

"Garis badai berpotensi berlaku pada awal pagi di perairan Selat Melaka dan pantai barat Semenanjung, Sarawak dan Sabah," katanya.

Menurutnya, ribut petir dan hujan juga dijangka berlaku pada sebelah petang hingga ke awal pagi di Semenanjung, Sarawak dan pedalaman Sabah.

"Pada Khamis, ribut petir dan hujan dijangka berlaku di Semenanjung, Mukah, Bintulu, Limbang dan Miri, pedalaman dan pantai barat Sabah, Kudat, Sandakan serta Tawau," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, ribut petir dan hujan diramalkan berterusan pada sebelah pagi dan malam Jumaat di kebanyakan negeri di Semenanjung.

Turut terlibat, Mukah, Bintulu, Limbang dan Miri, Sarawak, Sabah dan Labuan.

"Ribut petir dan hujan di semua negeri diramalkan pada waktu petang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, amaran aras air di tahap bahaya telah dikeluarkan di Sarawak iaitu stesen Marudi dan Long Teru, stesen Sungai Langat di Bukit Changgang dan Sungai Langat di Jenderam Hilir, Selangor dan Stesen Sungai Linggi di Negeri Sembilan setakat jam 2 petang, Rabu.

"Maklumat paras air sungai-sungai di seluruh Negara, boleh dilayari di laman sesawang MyPublic Infobanjir di

https://publicinfobanjir.water.gov.my/ atau menerusi aplikasi MyPublicInfoBanjir," katanya.

Zaini berkata, MET Malaysia akan terus memantau keadaan cuaca secara berterusan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan akan mengeluarkan amaran cuaca yang berkaitan sekiranya keadaan memerlukan.

"Untuk maklumat lanjut mengenai perkembangan keadaan semasa cuaca, orang ramai boleh melayari aplikasi Mycuaca," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!