Sukan SEA: Atlet senior perlu kerja keras

Norza. Foto Agensi.
Norza. Foto Agensi.
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan syarat ketat buat atlet senior berusia 23 tahun ke atas untuk beraksi di Sukan SEA Kemboja tahun depan.

Mereka perlu bekerja lebih keras untuk menyertai kontinjen negara kerana penilaian tidak lagi dibuat di bawah Kategori B.

Sebaliknya Jawatankuasa Pemilihan Atlet MOM menetapkan pemilihan atlet senior adalah di bawah Kategori A iaitu berada di kedudukan ketiga terbaik di Asia Tenggara.

Menerusi satu kenyataan hanya atlet muda berusia 23 tahun ke bawah akan dipertimbangkan di bawah Kategori B terutama atlet yang menghasilkan keputusan cemerlang di Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Bagi Kategori A, atlet perlu menduduki sekurang-kurangnya tempat ketiga dalam ranking Asia Tenggara bagi acara individu dan keempat untuk berpasukan.

Bagi Kategori B pula atlet perlu berada di kedudukan keenam teratas untuk dipertimbangkan.

“Atlet senior (23 tahun ke atas) wajib melepasi kriteria pemilihan Kategori A yang ditetapkan. Tiada atlet senior akan dipertimbangkan di bawah Kategori B.

“Atlet muda (23 tahun ke bawah, hanya berpandukan kepada Sukma 2022) akan diberi keutamaan untuk disenaraikan di bawah Kategori B sebagai persiapan ke temasya Sukan Sea 2025 dan 2027,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sukan SEA Kemboja yang dijadualkan berlangsung bermula 5 hingga 17 Mei tahun depan menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 608 acara.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Empat lagi panel ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli, Datuk Wira Mazlan Ahmad (ahli bebas) dan Zainal Abas (ahli bebas).

Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut menetapkan bahawa hanya sukan yang terdiri daripada 25 ahli gabungan MOM akan dipilih untuk bertanding di Sukan SEA Kemboja.

“Jawatankuasa pemilihan akan mempertimbangkan sukan-sukan bukan ahli gabungan MOM secara berasingan dengan syarat-syarat tambahan yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.

Pada Sukan SEA Hanoi Mei lalu, kontinjen negara menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas meraih 39 pingat emas 45 perak dan 90 gangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!