Modul, permainan didik masyarakat cintakan laut dihasilkan
KOTA KINABALU – Satu modul dan empat papan permainan pendidikan persekitaran marin di Sabah telah dihasilkan untuk mendidik masyarakat negeri ini tentang betapa pentingnya untuk menjaga hidupan laut.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Assaffal P Alian berkata modul dan papan permainan berkenaan dibuat berdasarkan satu kajian yang dilaksanakan melalui kerjasama Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia.
“Modul dan permainan ini cukup baik dan saya lihat ia berkesan untuk mendidik masyarakat untuk cintakan alam sekitar, khususnya hidupan laut di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan modul dan papan permainan itu di sini hari ini.
Beliau berkata modul dan permainan berkenaan boleh digunakan sebagai salah satu alat bantu mengajar yang boleh digunakan dalam mana-mana program pendidikan alam sekitar.
“Oleh itu saya berharap agar modul dan permianan ini dapat digunakan secara efektif untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar,” tambahnya.
Assaffal berkata modul dan permianan berkenaan akan diedarkan secara percuma kepada masyarakat dan sekolah dan untuk mendapatkannya orang ramai boleh datang ke pejabat Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!