'Bubar Parlimen dipercayai kerana desakan Presiden UMNO’

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa keputusan pembubaran Parlimen pada Isnin dipercayai atas desakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujar beliau, ia berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa keputusan pembubaran Parlimen perlu dibincangkan di peringkat jemaah menteri memandangkan BN bukan lagi gabungan yang membentuk kerajaan secara bersendirian.

“Mengapa kini Ismail Sabri mempertikaikan pendirian menteri-menteri PN yang telah diputuskan secara bersama dalam jemaah menteri?

“Pastinya, pendirian terbaru Ismail Sabri adalah atas desakan Presiden UMNO. Sesungguhnya, tindakan Ismail Sabri menyalahkan menteri-menteri PN adalah bermotifkan politik yang terdesak untuk mengalih persepsi rakyat terhadap UMNO dan BN yang gagal merasai denyutan nadi rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin, Ismail Sabri mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa pada Isnin bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ulas Mohamed Azmin, PN tuntas menolak cadangan pembubaran pada waktu terdekat demi memenuhi aspirasi rakyat yang mahu kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha pemulihan ekonomi, menjamin kesejahteraan serta kebajikan rakyat ketika berhadapan dengan bencana.

“Sudah menjadi rahsia umum bahawa pembubaran Parlimen dilakukan atas desakan UMNO.

“Punca sebenar ketidakstabilan dan ketidakharmonian dalam kerajaan hari ini adalah akibat percakaran kuasa antara kleptokrat dengan kluster Ismail Sabri.

Artikel Berkaitan:

“Pendirian menteri-menteri PN menolak cadangan pembubaran adalah penegasan semula terhadap keputusan pada 21 September lalu, jemaah menteri bersetuju untuk kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha pemulihan ekonomi negara serta meningkatkan usaha kesiapsiagaan menghadapi banjir,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!