Tiga mangsa cemas kenderaan terperangkap di pantai

Anggota bomba dan orang awam menolak Perodua Myvi yang tersangkut di pesisir Pantai Sentosa pada Rabu.
Anggota bomba dan orang awam menolak Perodua Myvi yang tersangkut di pesisir Pantai Sentosa pada Rabu.
A
A
A

SEKINCHAN - Seorang lelaki dan dua beranak berdepan detik cemas apabila kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terkandas di pesisir Pantai Sentosa di sini pada Rabu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, ketiga-tiga mangsa berusia lingkungan 20 hingga 64 tahun itu diselamatkan orang awam di tempat kejadian.

Menurut beliau, bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 3.08 petang menggerakkan seramai tujuh anggota ke tempat kejadian.

"Sejurus tiba di lokasi, anggota bomba dan orang awam berjaya membantu menolak kenderaan terbabit ke jalan ban," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Norazam, operasi menarik kenderaan itu mengambil masa selama 40 minit dan kemudian diserahkan kepada pihak polis.

Sehubungan itu, Norazam menasihatkan pengunjung tidak meletakkan kenderaan di tebing pantai bagi mengelakkan masalah sama berulang.

Jelas beliau, meskipun pesisir pantai luas sewaktu air surut, namun tindakan meletakkan kenderaan mengundang bahaya terutama jika air mula pasang.

"Kita tidak menggalakkan orang awam untuk meletakkan kenderaan di tebing kerana pasir pantai tidak padat dan berisiko menyebabkan ia tersangkut.

Artikel Berkaitan:

"Lebih berbahaya jika air pasang boleh menyebabkan kenderaan mereka ditenggelami air dan menyukarkan operasi menyelamat," kata beliau.

Sebelum ini tular satu gambar di media sosial Facebook sebuah Perodua Myvi tersangkut di pesisir Pantai Sentosa di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!