Zunar beri masa tujuh hari permohonan maaf
KUALA LUMPUR - Kartunis Zunar memberi tempoh tujuh hari kepada tiga individu membuat permohonan maaf selepas menyiarkan hasil karyanya yang diubah suai di laman sosial.
Zunar berkata, dua hasil karyanya itu dimuat naik pemegang Twitter, bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal Ismail Aziz dan di Facebook oleh individu dikenali Neezam Perkasa dan Roslan Bian.
Beliau berkata, satu laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengenai pemalsuan karya-karyanya turut dibuat semalam.
“Aduan yang dibuat ialah mengenai dua pemegang akaun Facebook dan satu pemegang akaun Twitter yang telah memalsukan, menyiar dan menyebar kartun-kartun saya yang telah diubah.
“Mereka telah mengubah, berkongsi, mengubah makna, mengubah karya seni saya melalui akaun media sosial masing-masing,” katanya.
Katanya, beliau akan berbincang dengan peguamnya dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya tiga individu itu tidak berbuat demikian.
“Semua pemegang akaun yang disebut di atas diberi masa tujuh hari waktu bekerja untuk membuat satu status permohonan maaf terbuka kepada saya dalam akaun Facebook dan Twitter masing-masing.
“Kata-kata permohonan maaf ini terlebih dahulu mesti diluluskan oleh saya. Untuk tujuan ini, mereka boleh menghantarnya kepada saya melalui email failkartun@gmail.com atau mesej ke Akaun Facebook Zunar Cartoonist Fan Club,” katanya melalui kenyataan di laman sesawang www.zunar.my.
Zunar berkata, pasukannya tidak hanya memberi fokus kepada tiga individu terbabit sebaliknya akan terus menjejak mana-mana individu yang membuat kesalahan serupa.
“Tindakan ini tidak tertakluk kepada tiga pemilik akuan tersebut saja. Pasukan saya akan terus menjejak perbuatan tidak bertanggungjawab ini dalam media sosial untuk diambil tindakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!