Tuanku Muhriz titah fokus isu rakyat, banjir

Aminuddin semasa sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Aminuddin semasa sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menitahkan supaya kerajaan negeri memberi keutamaan kepada isu rakyat dan persiapan menghadapi banjir sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, titah baginda itu menguatkan kerajaan negeri untuk tidak membubarkan DUN Negeri Sembilan meskipun Parlimen telah dibubarkan.

"Cerita tentang persetujuan untuk tangguh pembubaran ini, saya telah mendapat perkenan Tuanku sebelum Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengumumkan keputusan lagi.

"Apabila saya maklum mahu membubarkan DUN tahun hadapan, baginda tiada halangan dan bertitah ia terpulang kepada kerajaan negeri.

"Tuanku menitahkan supaya kerajaan negeri fokus hal kepentingan rakyat terutamanya isu banjir," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Bagaimanapun beliau akan akur dengan keputusan Majlis Presiden PH sekiranya dalam waktu terdekat diminta untuk membubarkan DUN.

Ujarnya, pihaknya sudah menyampaikan pandangan kepada pimpinan tertinggi gabungan itu tentang kebaikan dan keburukan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika ini.

"Majlis Presiden telah pun buat keputusan dan kita akur apa juga yang dibuat. Kita di peringkat Exco negeri juga akur dengan keputusan dan arahan daripada Majlis Presiden PH.

Artikel Berkaitan:

"Dalam hal ini kita kena patuh kepada Majlis Presiden. Saya juga dapat maklum balas daripada rakyat yang setuju dengan keputusan ini (tidak bubar DUN sekarang)," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Aminuddin berkata, DUN Negeri Sembilan tidak akan dibubarkan serentak dengan Parlimen.

Majlis Presiden PH turut mengumumkan bahawa tiga negeri ditadbir PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN masing-masing.

Berhubung gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya negeri di bawah PH turut membubarkan DUN serentak dengan Parlimen sebagai langkah menjimatkan kos, Aminuddin berkata, penangguhan pembubaran DUN dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor terutama isu banjir.

"Individu yang menguruskan banjir dan pilihan raya adalah orang yang sama. Pegawai Daerah adalah pengerusi bencana daerah dan dia juga pengurus pilihan raya, semua duduk di pusat mengundi.

"Jadi mana harus diutamakan ketika itu sedangkan proses pilihan raya tak boleh ditangguhkan begitu juga dengan bencana banjir yang melibatkan nyawa. Macam mana mereka ini nak buat dua kerja?" katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!