Aminuddin masih berteka-teki bertanding di PD
SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun masih bermain teka-teki berkenaan dakwaan yang beliau akan bertanding di Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Aminuddin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat ketika ditanya perkara itu bagaimanapun tidak mengesah atau menafikannya.
"Selagi Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak umumkan, saya pun tak tahu siapa.
"Aminuddin Harun ke... Anwar Ibrahim ke, saya tak tahu siapa dia," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Dakwaan yang Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Negeri Sembilan itu akan bertanding di Port Dickson susulan tindakannya sebelum ini menukar keahliannya dari Cabang Tampin ke Cabang Port Dickson.
Beliau kemudian menang sebagai Ketua Cabang Port Dickson dalam Pemilihan PKR 2022 menewaskan tiga calon lain termasuk penyandang yang juga Timbalan Pengerusi MPN Keadilan Negeri Sembilan, Datuk M Ravi.
Media pula melaporkan yang Anwar memberi bayangan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson dan mungkin bertanding kerusi Parlimen yang disandang oleh 'pengkhianat' PKR dan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang itu tidak menamakan kawasan kerusi Parlimen yang menjadi perhatiannya, namun kerusi itu mestilah memberi kelebihan tambahan kepada PKR dan PH.
Untuk rekod, Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi.
Anwar menewaskan enam pencabarnya iaitu calon Pas, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, yang memperoleh 7,456 undi.
Calon lain, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang bertanding atas tiket Bebas pula memperoleh 4,230 undi, manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 82 undi.
Tiga lagi calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong memperoleh (337 undi) manakala Lau Seck Yan (214 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!