Bau busuk bongkar penemuan mayat
SANDAKAN - Bau busuk dari sebuah rumah di Flat Taman Sejati, di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki tempatan pada petang Rabu.
Mayat lelaki berusia 57 tahun itu ditemui kira-kira jam 2 petang selepas jirannya terhidu bau kurang menyenangkan di rumah terbabit.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pengadu yang juga jiran lelaki itu bertindak menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan.
"Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati pintu jeriji berkunci dan meminta bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk masuk ke rumah tersebut.
"Pihak polis kemudian menemui mayat lelaki itu dalam keadaan duduk di atas kerusi di bahagian ruang tamu. Lelaki terbabit dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu," katanya ketika dihubungi Sinar harian pada malam Rabu.
Abdul Fuad berkata, mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk tujuan bedah siasat.
"Siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada mayat terbabit dan setakat ini tidak terkesan sebarang unsur jenayah.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah memaklumkan ada melakukan operasi membuka pintu jeriji yang terkunci dan terdapat seorang lelaki yang telah disahkan meninggal dunia di dalam rumah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!