Konvensyen PH dianjakkan ke 20 Oktober

Pakatan Harapan.
Pakatan Harapan.
A
A
A

PETALING JAYA - Konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang dirancang diadakan pada 29 Oktober telah dianjakkan kepada 20 Oktober, hari yang sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Komunikasi PH Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, konvensyen pada 20 Oktober itu masih bertempat di Perak, namun lokasinya akan dimaklumkan kemudian.

"Jadi kalau di sebelah petang SPR akan umum tarikh (berkaitan PRU15), malam itu kita akan sambut dengan satu konvensyen di Perak,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH di sini pada Rabu.

Pada 8 Oktober lepas, Pengerusi PH Perak Datuk Seri Dr Mujahid Yusof memaklumkan Konvensyen PH akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC), Perak pada 29 Oktober.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 20 Oktober ini untuk membincangkan dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa 10 Oktober untuk memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Susulan pengumuman itu, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan. - Bernama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!