PRU15: Sambutan Deepavali tidak akan terganggu

M Saravanan.
M Saravanan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan menyifatkan dakwaan sesetengah pihak kononnya sambutan perayaan Deepavali pada 24 Oktober ini, akan terganggu kerana ia disambut menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai ‘sandiwara politik’ pembangkang.

Katanya dakwaan cuma berniat memainkan sentimen masyarakat India, kerana terdapat masa yang mencukupi untuk menyambut perayaan itu memandangkan mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pengurusan pilihan raya, cuma akan diadakan pada 20 Oktober ini.

"Kalau 20 Oktober ini baru SPR bermesyuarat, kita boleh bayangkan, kemungkinan besar kita ada dua minggu atau seminggu lebih untuk pencalonan. Lepas itu, ada lagi dua minggu untuk pilihan raya. Jadi tidak ada dalam musim Deepavali.

"Mungkin (PRU15 diadakan) seminggu ke tiga minggu selepas Deepavali, jadi tidak perlu ungkitkan isu ini. Sekurang-kurangnya kita ada dua ke tiga minggu 'buffer'”, katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Program Penyelia Penginapan dan Kemudahan Pekerja (PPKP) di sini pada Rabu.

Terdahulu, pada minggu lepas media tempatan melaporkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata pembubaran Parlimen pada Oktober bagi memberi laluan kepada PRU15, merupakan satu tindakan yang tidak menghormati komuniti India yang meraikan sambutan perayaan Deepavali.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, beliau telah memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk mempertimbangkan pemberian cuti ganti kepada guru masyarakat India di sekolah-sekolah Tamil pada musim Deepavali.

"Saya telah meminta dan merayu kepada Perdana Menteri supaya mengambil kira rayuan daripada guru-guru masyarakat India, yang memohon supaya diberi sama ada cuti peristiwa ataupun cuti gantian satu hari tambahan,” katanya.

Mengenai isu pekerja asing yang dibangkitkan pihak pembangkang, Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata isu berkenaan telah selesai dan tidak perlu dijadikan modal politik.

"Pekerja asing yang ada dalam negara kita sehingga hari ini melalui pelbagai program adalah lebih kurang 1.1 juta. Dalam masa tiga bulan sejak kita meteraikan perjanjian dengan Bangladesh dan Indonesia, pada Julai, Ogos dan September kita ada 159,000 yang telah masuk dalam negara,” katanya. - Bernama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!