BN jangan letak calon 'bidan terjun' di Parlimen Lembah Pantai
SHAH ALAM - Kepimpinan tertinggi BN diminta tidak meletakkan calon 'bidan terjun' di kerusi Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, pemilihan calon tidak sesuai dibimbangi mendatangkan kemarahan dan sabotaj dalam kalangan ahli parti itu dan juga kepimpinan UMNO bahagian.
Jelas beliau, UMNO bahagian itu telah menyenaraikan lima nama calon sesuai dan layak termasuk Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ramlan Askolani untuk bertanding di Parlimen Lembah Pantai.
"Mustahil tiada seorang (calon) pun yang berwibawa dalam UMNO Bahagian untuk menjadi calon?
"Janganlah anggap UMNO Lembah Pantai ketandusan calon kerana (masih) ramai yang layak," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Muhamad Muqharabbin yang juga Exco Pemuda UMNO memberitahu, kepimpinan tertinggi parti itu diharap membuat keputusan terbaik bagi memastikan BN menang di Parlimen Lembah Pantai.
Ujar beliau, BN diharap tidak meletakkan calon luar yang mempunyai jawatan di peringkat atas sebagai calon di Parlimen itu.
"Kalau dari tahun lepas turun padang dan buat kerja serta berminat menjadi calon di Parlimen ini, bolehlah kami pertimbangkan.
"Ini tidak, tiba-tiba entah dari mana, terus datang sini cuci tangan dengan karpet merah, tiba-tiba jadi calon," jelas beliau.
Menurutnya, UMNO bahagian itu sudah bertungkus-lumus sejak empat tahun lalu untuk membina kekuatan dan perpaduan dalam kalangan ahli selain memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Jangan kerana kami sepakat tidak bergaduh, membuatkan orang lain ambil kesempatan datang dengan suka ria menjadi calon," jelasnya.
Justeru itu, katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diharap dapat meneliti calon sesuai untuk diketengahkan di Parlimen berkenaan.
"Kita berharap calon anak tempatan diketengahkan BN di Parlimen Lembah Pantai kerana kami lebih tahu apa yang berlaku di sini," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!