Liverpool pesta gol, Salah hatrik terpantas
GERGASI Inggeris, Liverpool kembali menampilkan persembahan luar biasa apabila membelasah Rangers 7-1 dalam perlawanan Kumpulan A Liga Juara-Juara di Stadium Ibrox.
Kemenangan bergaya ke atas juara liga Scotland itu memberi isyarat awal The Reds telah bersedia menyambut kunjungan penyandang juara Manchester City di Anfield dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, pada Ahad ini.
Pada perlawanan itu, Mohamed Salah yang kemarau jaringan sejak dalam beberapa perlawanan sebelum ini kembali menemui semula sentuhan penyudah apabila meledak tiga gol (75'), (80') dan (81'), sekali gus hatrik terpantas kejuaraan tertinggi kelab Eropah itu.
Turut meledak gol Roberto Firmino (24), (55), Darwin Núñez (66') dan Harvey Elliott (87') sekali gus memadam pendahuluan skuad kendalian legenda Arsenal, Giovanni van Bronckhorst dihasilkan Scott Arfield minit ke-17 sebelum itu.
Sejujurnya satu kelegaan yang besar buat pasukan. Segala usaha membuahkan hasil. Kita semua tahu apabila ia melibatkan Mo (Salah) dia pastinya luar biasa, benar-benar luar biasa.
"Jelas sekali ia merupakan satu impak yang amat cukup berbeza untuk Mo pada malam ini, dan perlawanan akan datang.
"Saya berharap untuknya segala-galanya berfungsi untuk Mo mulai sekarang, begitu juga seperti yang saya harapkan untuk pasukan ini," kata pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.
Kemenangan itu menyaksikan Liverpool mengumpul sembilan mata - tiga mata di belakang pendahulu kumpulan Napoli selepas kedua-dua pasukan mengharungi empat perlawanan.
Keputusan
LIGA JUARA-JUARA
Rangers 1-7 Liverpool
Barcelona 3-3 Inter Milan
Napoli 4-2 Ajax Amsterdam
Viktoria Plzen 2-4 Bayern Munich
Tottenham Hotspur 3-2 Frankfurt
Atletico Madrid 0-0 Club Brugge
Bayer Leverkusen 0-3 Porto
Sporting Lisbon 0-2 Marseille
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!