Kemenangan peringkat kedua Molano dibatalkan
Pelumba dari pasukan UAE Team Emirates Juan Sebastian Molano Benavides (tengah) selepas melakukan pecutan ke garisan penamat sempena LTdL Malaysia 2022 peringkat kedua pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A
Menurut kenyataan dalam laman Twitter rasmi LTdL, gelaran pelumba Colombia itu ditarik balik susulan didapati melakukan kesalahan pecutan yang 'tidak teratur' ketika menghampiri 300 meter garisan penamat di Dataran Raub, Pahang, semalam.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan juara peringkat kedua meliputi jarak 178.9 kilometer itu menjadi milik pelumba ARA Pro Racing Sunshine Coast, Craig Wiggins sementara Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) di tempat kedua manakala Jakub Mareczko (Alpecin-Deceuninck) tempat ketiga.
"Juan Sebastian Molano dibatalkan kemenangan kerana melakukan pecutan yang tidak mengikut laluan sepatutnya.
"Pemenang Peringkat 2 ialah Craig Wiggins dari Australia (ARA Sunshine Coast)," menurut kenyataan itu.
Molano jatuh ke kedudukan ke-109 bagi perlumbaan peringkat kedua bersama-sama kumpulan pelumba terakhir yang tiba di garisan penamat.
Namun, pelumba berusia 27 tahun itu dibenarkan meneruskan perlumbaan seperti biasa selepas namanya turut berada dalam senarai perlumbaan peringkat ketiga dari Putrajaya ke Genting Highlands pada Khamis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!