Mutalib, penggerak Muda tawar diri calon PRU15

Mutalib
Mutalib
A
A
A

IPOH - Naib Presiden parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Mutalib Uthman menawarkan diri sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mutalib, 40, berkata, permohonan sebagai calon itu telah dikemukakan pada Rabu atas tiket Muda untuk bertanding di salah satu daripada 24 kerusi Parlimen di Perak.

Menurutnya, hasrat itu dibuat sebagai satu gerakan membawa perjuangan parti, selain memberi satu perubahan kepada pengundi terutama dalam suasana politik baharu ini.

"Hasrat mahu bertanding itu sudah lama, cuma kali ini adalah masa yang tepat. Saya harap parti akan memberi peluang itu.

"Mungkin saya masih baru, tetapi satu perkara yang saya pegang adalah semangat untuk mengubah negara ke satu keadaan yang lebih baik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Pengerusi Muda Perak itu berkata, telah sekian lama rakyat mengharapkan perubahan dibawa oleh wakil rakyat, namun hasilnya mengecewakan dan masih di tahap sama.

Katanya, sebagai contoh, tahap pembangunan di Perak dari segi kemudahan pengangkutan dan jalan masih jauh ketinggalan berbanding negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi juga kurang di sini, ditambah liputan rangkaian telekomunikasi yang kurang memuaskan menyebabkan ramai anak muda berhijrah ke negeri lain bagi mendapatkan jaminan masa depan.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini perlukan perubahan," katanya.

Beliau yang juga penggerak rundingan Muda Malaysia yakin, ruang untuk menempatkan diri sebagai calon, terbuka luas meskipun parti itu mengadakan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 ini.

"Saya buat keputusan (jadi calon) sebelum Majlis Presiden PH umumkan persetujuan itu.

"Kalau kita tak mencuba, kita tak tahu. Jika tidak ada (calon), sekurang-kurangnya semangat itu ada," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, PH mengesahkan akan mengadakan kerjasama politik dengan Muda dalam menghadapi PRU15.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikannya di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Muda juga akan menggunakan logo PH untuk bertanding dalam PRU15 nanti.

Pada Mac lalu, Muda yang julung kali bertanding dalam pilihan raya memenangi satu kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.

Kemenangan itu diperolehi Setiausaha Agung parti, Amira Aisya Abd Aziz dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru.

Beliau menewaskan Ng Yew Aik daripada BN, Dr Khairil Anwar Razali (Parti Pejuang Tanah Air), Loh Kah Yong (Perikatan Nasional), Steven Choong Shiau Yoon (Parti Bangsa Malaysia) dan Adzrin Adam (Bebas).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!